Mentua ambil semua harta suami setelah suami meniggal dunia ketika masih dalam tempoh edah

SIAPA sangka kehidupan wanita ini diuji selepas kehilangan suami yang dicintai tanpa pernah membayangkan akan berdepan situasi itu.

Lebih menyedihkan buat wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Syasha ini, suaminya meninggal dunia sebulan selepas menyambut hari lahir puteri sulung mereka yang genap setahun.

Menurut wanita berusia 38 ini, kira-kira setahun selepas berkahwin dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja diatas permintaan suaminya yang berusia 42 tahun kerana mahu dia menumpukan perhatian kepada hal rumah tangga.

“Arwah merupakan pengarah di sebuah syarikat swasta dan dia memang mampu menyara kami sekeluarga. Dia turut membelikan sebuah rumah untuk kami berteduh kerana sebelum itu tinggal di rumah mentua.

“Bagi saya Hazman (bukan nama sebenar) seorang lelaki yang terlalu baik. Sepanjang lebih tiga tahun hidup bersamanya, dia menjalankan tanggungjawab sebagai anak, suami dan bapa dengan sempurna. Dia merupakan anak sulung daripada empat adik beradik.

“Keluarganya juga dari golongan yang berada. Pun begitu, dia tidak pernah lupa memberikan wang perbelanjaan kepada ibu bapanya. Sepanjang perkahwinan, saya juga dilayan baik oleh keluarga mentua dan adik-adiknya,” kongsi Syasha kepada mStar.

Perangai sebenar

Menurut Syasha, ‘disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari’ apabila Hazman jatuh sakit dan meninggal dunia dalam tempoh dua minggu pada September lalu.

“Suami saya memang ada mengadu tidak sihat dan paling teruk selepas dia sukar bernafas September lalu hingga beberapa kali ditahan di hospital dan akhirnya disahkan mengalami masalah paru-paru.

“Kami telah cuba berikhtiar sebaik mungkin, namun dia pergi meninggalkan kami selama-lamanya dengan tenang di sisi ahli keluarga.

“Memang saya seperti tidak percaya dengan apa yang dilalui ini. Dia langsung tidak menunjukkan sakit yang teruk dan sentiasa tenang melayan karenah kami.

“Paling menyedihkan setiap kali melihat anak tunggal kami, saya mesti menangis kerana mukanya saling tak tumpah wajah arwah. Hanya anak inilah harta paling berharga yang ditinggalkan arwah suami,” ujarnya.

Jelas Syasha sepanjang dalam tempoh edah, dia tinggal bersama keluarga mentuanya.

“Hidup saya memang terasa seperti kosong kerana terlalu rindukannya. Selepas sebulan jiwa saya baru lebih tenang dan sedikit demi sedikit dapat terima hakikat bahawa Hazman tiada lagi di dunia ini.

“Sepanjang tempoh edah ini, saya dapat rasakan hubungan mentua dengan saya agak dingin. Ada sesuatu yang berlaku dalam tempoh sebulan saya berada dalam kesedihan itu. Rupanya semua duit simpanan arwah, termasuk gaji terakhir suami lebih kurang RM15,000 sudah dikeluarkan oleh mentua.

“Malah mereka turut ke rumah kami mengambil semua barang berharga termasuk jam, dokumen dan simpanan anak hampir RM4,000. Mereka juga bawa saya ke bank, meminta saya menandatangani hak penjagaan anak serta menyimpan semua wang sedekah orang ramai ketika datang melawat arwah suami sebelum ini.

“Alasan mereka duit yang mereka ambil semua itu adalah untuk masa depan anak saya. Mereka melakukan semua ini ketika saya masih berada dalam kesedihan. Ketika itu saya rasa seperti ‘lembu dicucuk hidung’. Semua ikut sahaja kata mereka.

“Jujur cakap, sebenarnya saya langsung tidak terlintas untuk fikir mengenai duit atau harta yang ditinggalkan arwah suami kerana berharap keluarga mentua tahu apa itu hak dan memahami keadaan saya. Tetapi sikap tamak mengatasi segala-galanya.

“Sikap ibu bapanya itu jauh berbeza dengan Hazman. Jelas sekali mereka menganggap saya tidak ‘wujud’ dalam keluarga itu. Tidak pernah berbincang apa-apa dan hanya mengarah saya tandatangan itu dan ini sahaja.

“Memang ada silap di sini kerana Hazman tidak pernah menulis atau meninggalkan sebarang wasiat untuk hartanya. Begitu juga dengan wangnya di KSWP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), dokumen rumah, wang simpanan serta insurans.

“Saya ditinggalkan tanpa sebarang pesanan atau amanat terakhir,” dakwanya dengan nada sayu.

Tuntut hak

Menurut Syasha, sebaik sahaja habis edah, dia dan anaknya pulang ke rumah ibu bapanya tanpa memperoleh sebarang hak yang sepatutnya.

“Saya akan cuba fight  hak anak saya. Sebenarnya saya tidak mahu situasi ini berlaku, tetapi mereka layan saya seperti sampah. Walhal apa yang mereka ambil itu adalah hak anak saya.

“Biasanya saya hanya tengok situasi seperti ini dalam drama TV sahaja, realitinya berlaku sendiri ke atas saya.

“Pengalaman ini juga dianggap sebagai pengajaran kepada semua lelaki bergelar suami supaya membuat persiapan awal melibatkan harta peninggalan sebab kita tidak tahu bila akan mati,” ujarnya.

Dalam pada itu mStar sempat berkongsi kisah ini bersama Ketua Perunding MyPusaka Cawangan Bangi, Mohd Anwar Aminon yang mengakui kes seperti yang dialami Syasha ini memang selalu berlaku akibat tiada persedian awal daripada pihak suami.

Mohd Anwar berkata, masalah ini tidak akan timbul sekiranya beberapa langkah awal yang sewajarnya diambil di pihak suami. 

1. Melantik wasi dalam kalangan ahli keluarga yang dipercayai

Lantikan dua wasi dalam kalangan ahli keluarga terdekat yang dipercayai bagi memastikan proses urus pusaka dapat dimulakan dengan segera mengikut hasrat dan perancangan kita.

Wasi bermaksud individu yang dilantik untuk menunaikan urusan berkaitan wasiat.

2. Fahami dan buat analisa faraidh sendiri

Memahami hukum faraid dan membuat analisa struktur faraid diri sendiri dapat membantu kita mengenal pasti pembahagian harta pusaka kita kelak, lantas merancang instrumen perwarisan yang boleh kita buat semasa hayat.

3. Menyediakan dokumen perwarisan bertulis, bertarikh dan bersaksi

Ini sangat penting. Setiap hasrat kita mestilah dizahirkan dalam bentuk dokumen wasiat/pesanan yang bertulis, bertarikh dan bersaksi. 

Dalam kes tertentu yang melibatkan struktur faraid kompleks, instrumen hibah mahupun amanah mungkin perlu disediakan. Langkah terbaik adalah dengan mendapatkan khidmat pakar (rujuk tip ke-lima).

Hibah adalah pemberian hak terhadap harta secara sukarela kepada orang lain dengan tujuan baik.

*Pasangan (sekiranya bukan di lantik sebagai wasi) perlu tahu kewujudan dokumen ini, bagi mengelakkan sebarang masalah.

4. Penyediaan dana pantas untuk waris

Penyediaan dana pantas kepada waris amat penting, kerana selain membolehkan waris membayar hutang si mati, sara hidup waris, malahan ia boleh di gunakan oleh waris untuk membayar kos urus pusaka. 

Rancang penamaan dana pantas kita sebaiknya, kenal pasti isu berkaitan dengan penamaan KWSP, Tabung Haji, sijil takaful, polisi insurans dan sebagainya. Rujuk yang pakar!

5. Khidmat daripada pakar

Dapatkan khidmat nasihat pakar sejak awal proses analisa struktur faraid, membuat perancangan hasrat sekaligus menyediakan khidmat untuk rujukan waris bagi mencapai muafakat waris dan proses urus pusaka.

Apa yang penting, dalam melaksanakan kesemua di atas, jangan memandai mandai, rujuklah orang yang pandai.

Sumber Mstar

Apa komen anda?