ANAK mana yang sanggup melihat bapanya menderita sakit atau ditimpa masalah!
Melihat luka dan wajah sayu seorang insan bergelar bapa menahan kesakitan atas kesalahan orang lain adalah satu tamparan hebat buat gadis berusia 23 tahun ini.
Mana tidaknya, sudahlah dia dilanggar, kemudian ditinggalkan pula di hospital bersendirian dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh lelaki yang melangg4rnya dengan alasan ‘mahu cari parking’ tetapi akhirnya lesap.
Inilah yang perlu dihadapi Afiqa Basyirah Azmi, apabila bapanya yang merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Agama Sultan Abidin Ladang, Terengganu dilangga4r oleh seorang individu yang tidak bertanggungjawab.
Dikenali sebagai Afiqa, dia menjelaskan kejadian berlaku semasa waktu rehat persekolahan yang mana ayahnya keluar sebentar untuk membeli barang.
“Masa itu waktu rehat budak sekolah, ayah seorang cikgu. Ayah keluar sekejap untuk beli barang, naik motor sampai saja kat satu simpang di Gong Pauh, lampu isyarat bertukar hijau. Jadi ayah pun buat u-turn, tiba-tiba datang satu kereta jenis Hilux rempvuh ayah,” katanya ketika dihubungi mStar.
Jelas Afiqa lagi, kejadian berlaku pada Isnin kira-kira jam 10 pagi di laluan dari arah Kuala Berang menghala ke Kuala Terengganu.
“Lepas sahaja ayah jatuh, ayah cepat-cepat bangun pergi ke bahu jalan walaupun pada masa tu dia dalam keadaan teruk… dia nak elakkan diri daripada dilangg4r oleh kenderaan lain,” kata Afiqa.
Menurutnya lagi, selain keadaan motosikal bapanya yang rosak teruk, bahagian hadapan kereta Hilux tersebut turut remuk.
Apa yang membuatkannya lebih terkilan adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh pemandu Hilux berkenaan selepas meninggalkan bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri bersendirian di hospital.
“Lepas sahaja pemandu kereta itu langgar ayah, dia cakap dia nak bertanggungjawab dan ayah masa tu setuju saja, tak cakap banyak dengan sakit yang dia tanggung lagi. Jadi pemandu tu papah ayah bawa ke keretanya dan kemudian hantar ayah ke hospital.
“Tapi sampai sahaja di hospital, pemandu itu tinggalkan ayah yang sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum doktor datang tolak ayah ke bilik kecemasan. Dia cakap, ‘sekejap lagi saya datang semula sebab nak pergi cari parking’. Tetapi sudahnya sampai hari ini langsung tak nampak muka lelaki itu,” kongsi Afiqa.
Tambah anak ketiga daripada enam orang adik beradik ini, bapanya mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZKT) dan mengalami patah di bahagian kaki kiri iaitu tulang keting dan tumit serta patah di bahagian rusuk kiri selain luka-luka ringan.
Kata gadis ini, dia dan keluarganya turut membuat laporan polis berhubung kemalangan tersebut pada malam kejadian di Balai Polis Trafik Kuala Terengganu.
“Kami ada buat laporan polis, tapi sekadar laporan makluman sahaja bukan untuk laporan langgar lari sebab ayah tak tahu nombor pendaftaran kereta Hilux tersebut. Sebabnya, pemandu itu cakap dia nak bertanggungjawab, jadi ayah pun tak ambil nombor pendaftaran kereta itu. Ayah pun tak sangka lelaki itu akan tinggal ayah macam tu saja di hospital,” katanya.
Susulan itu, Afiqa memuatnaik satu posting di akaun Twitter miliknya pada Selasa bagi memohon bantuan orang ramai dalam usaha mencari saksi kejadian.
Dengan kapsyen,’Tolong saya sebarkan ini! Sesiapa yang ada lalu jalan dari Kuala Berang menghala ke Bandar Kuala Terengganu, Isnin (18 November) jam 9 hingga 10 pagi yang ternampak atau saksi kejadian kereta Hilux langgar motor di traffic light Gong Pauh. Tolong hubungi saya. Saya perlukan bantuan anda.’
Selain itu, Afiqa turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia dan keluarganya hanya mahukan wang semata-mata.
“Bukan niat kami sekeluarga mahukan duit. Kami cuma mahukan keadilan, pemandu itu sendiri cakap dia nak bertanggungjawab. Tapi kenapa dia tinggalkan ayah macam itu sahaja di hospital. Cakap nak pergi cari parking tapi ini sampai berapa hari dah langsung tak nampak batang hidung.
“Kami sekeluarga kecewa dan sedih sebab dia buat macam tu. Saya cuma minta sesiapa yang ada di tempat kejadian atau terlihat apa yang berlaku, tolonglah hubungi saya. Kami hanya mahu berjumpa dengan lelaki itu sahaja, bukan nak pukul atau apa-apakan. Sebab dia cakap nak bertanggungjawab dengan keadaan motor dan barang-barang ayah dibiarkan berteraburan atas jalan macam itu saja,” luahnya.
Namun sehingga kini, Afiqa berkata tiada seorang pun individu atau saksi menghubunginya bagi memaklumkan maklumat berhubung kemalangan yang menimpa ayahnya.
Kata gadis ini lagi, bapanya turut memberitahu bahawa beberapa keping wang RM50 yang ada di poket seluarnya hilang ketika kejadian dan yang tinggal hanyalah wang tunai sebanyak RM30 yang disimpan di poket baju.
Bagaimanapun, gadis ini bersyukur kerana bapanya selamat menjalani pembedahan di bahagian kaki kirinya pada Selasa.
“Alhamdulillah lima jam pembedahan masukkan besi di bahagian kaki kiri ayah berjalan dengan lancar. Saya tak boleh kawal perasaan. Ayah genggam tangan saya kuat sambil cakap, ‘abah sakit, Iqa’. Terus laju saja air mata ni mengalir. Maafkan saya abah, saya bukanlah seorang gadis yang kuat,” luahnya dengan sebak.
Sumber Mstar