Masa Dalam Bas, Amy Search Tiba-Tiba Pusing Belakang Cakap Kat Yazit, ‘Zit Kalau Lu Tipu, Gua M4ti’

” Zit (Yazit), lu jangan tipu gua. Kalau lu tipu gua m4ti.”

Itu ungkapan penyanyi rock negara, Amy Search kepada pemain dram Allahyrham Yazit waktu itu, di mana ia mungkin menjadi pencetus kepada nama gah kumpulan Search, band rock tersohor itu dikenali hingga ke hari ini.

Permulaan perjalanan Search bermula di mana Yazit bersama Hillary Ang dan Zainal (Rampa) meneruskan misi mencari anggota lain bagi melengkapkan kumpulan mereka yang diberi nama Search itu.

Oleh kerana kecenderungan sama terhadap genre rock, selain teruja melihat kejayaan band negara jiran membulatkan tekad mereka untuk merealisasikan perjalanan kumpulan sendiri.

Segalanya bermula selepas Hillary mengajak Yazit mencuba nasib di ibu kota untuk bekerja di Red Rooster Club di Medan Tuanku disebabkan ada kontrak menanti.

Ujar Hillary padanya, di sana seorang lagi kawan mereka, Zainal, sudah sedia menanti di ibu negara untuk mereka sama-sama berjumpa pengurus kelab berkenaan.

Duit belanja habis

Berbekalkn wang simpanan, beliau dan Hillary mengambil keputusan menyewa teksi dan berkongsi membayar tambang kira-kira RM140 disebabkan mahu cepat sampai ke destinasi.

Mujur katanya urusan perbincangan berjalan lancar, tetapi mereka masih berdepan masalah, iaitu kontrak belum boleh ditandatangani selagi Search tidak cukup ‘korum’.

” Sampai saja KL, Zainal sudah tunggu kami bersama seorang lagi pemain bes dari Indonesia, Memek. Kontrak pertama kami ‘main’ di kelab itu selama sebulan. Kami ada pinjam pemain bes lain.

” Rasanya tiga bulan juga kami ikat kontrak dengan Red Rooster. Namun selepas itu hanya tinggal saya dan Hillary kerana tiada lagi persefahaman. Zainal pula tubuhkan sebuah kumpulan baharu.

” Pengurusan kelab memberikan syarat, kalau kami mahu teruskan kontrak, kami kena cari penyanyi lain. Kami ambil keputusan balik semula ke Johor untuk cari vokalis dan seorang pemain bes.

” Waktu itu duit belanja RM2,000 yang saya bawa sudah habis. Ada tambang balik saja.

” Kami pulang ke Johor pun naik kereta api,” katanya yang menceritakan mengenai permulaan Amy atau Suhaimi Abd Rahman menyertai Search.

Amy ‘mengendeng’ minta nyanyi

Yazit berkata, beliau tidak tahu Hillary mempunyai perancangan mahu mengambil Amy kerana beranggapan pemain gitar terbabit ingin mengumpulkan beberapa calon lain.

Akui Yazit, beliau sangat memahami sikap Hillary yang sensitif dan mudah terasa jika cadangannya ditolak. Bagi mengelakkan konfrontasi, Yazit hanya mengikuti rancangan kawannya itu.

” Kami pun terus berjumpa Amy. Saya kenal dia pun melalui Hillary.

” Sebelum ini, ada beberapa kali Amy menyanyi dengan kami pada majlis kenduri. Dia kerja penghantar surat masa itu. Gaya pun bukan macam rockers.

” Pernah sekali dia datang kenduri pakai baju Hawaii manakala di ketiak pula terselit sebuah buku.

” Dia ‘mengendeng’ saya minta nyanyi. Saya bagi saja peluang. Terus saja dia buka buku lagu yang dibawanya dan menyanyikan lagu Scorpions.

” Sebenarnya, waktu itu imej kami pun tidaklah rock sangat sebab walau dapat dua gaji, hampir semua duit saya serahkan kepada emak.

” Jadi, peluang nak bergaya macam rockers Singapura agak kurang sedikit.

” Wang baki saya banyak belanjakan untuk membeli kaset band kesukaan saya, terutama dari luar negara yang harganya agak tinggi sikit seperti Rush, Deep Purple dan Eric Clapton.

” Namun, selepas nampak kesungguhan Amy, adalah juga kami minta dia nyanyi sementara vokalis jemputan kami berehat.

” Lagu kami ketika itu pun masih bercampur-campur, tidaklah genre rock saja. Banyak lagu dia boleh bawa,” katanya mengimbas memori.

Berpeluh kejar bas

Menyambung usaha meminta Amy menyertai Search, kongsi Yazit, penyanyi itu mula menunjukkan minat selepas ditunjukkan kontrak. Cuma katanya, beliau baru mendapat kerja di Yamaha, beberapa hari sebelumnya.

” Saya yakinkan dirinya, kontrak dengan tawaran gaji sebanyak RM900 sebulan bersama rumah sudah ada di tangan.

” Kami bagi tempoh sehari saja dan saya maklumkan, lusa kami tunggu dirinya untuk naik bas MARA di stesen bas jam 1 tengah hari.

” Saya sampai dulu dan beli tiga tiket kerana yakin Amy pasti ikut kami ke KL. Sehinggalah bas nak bergerak, batang hidung dia masih tak nampak.

” Lepas naik bas, saya terus campak tiket Amy ke dalam tong sampah.

” Tiba-tiba, baru saja pemandu masuk gear satu, dari sebelah kanan saya nampak kelibat Amy melambai-lambai sambil memegang beg kertas. Berpeluh dia kejar bas,” ulasnya lagi sambil tersenyum.

” Lu jangan tipu gua” – Amy

Dedah Yazit, beliau juga masih ingat sepanjang lima hingga enam jam duduk di dalam bas, mereka bertiga tidak berbual panjang, seolah-olah masing-masing melayani perasan sendiri.

Apa pun, di pertengahan jalan beliau dan Hillary seakan-akan tersedar daripada lamunan apabila Amy yang duduk di kerusi hadapan mereka berpaling ke belakang, meluahkan rasa hatinya.

” Dia cakap, “Zit (Yazit), lu jangan tipu gua. Kalau lu tipu gua m4ti. Gua cakap dengan mak gua pergi Kuala Lumpur tiga hari saja”. Itu yang dia cakap dengan muka sedih.

” Saya pun tunjuk lagi kontrak Red Rooster Club yang belum kami tandatangani. Saya minta dia baca betul-betul. Saya kata, di bahagian bawah sudah siap tulis gaji seorang RM900.

” Dia pandang lagi muka saya dengan Hillary. Saya tahu, dia risau masa depan kami terumbang-ambing di bandar besar, kalau tiada apa-apa kepastian.

” Kemudian, sekali lagi kami bertiga layan perasaan sampailah ke Puduraya,” katanya.

Pengunjung terkejut tengok persembahan

Selepas itu, katanya mereka kembali ke rumah rakan di Zoo View dan mula mengumpul lagu serta berlatih sebelum memulakan kerja di kelab itu dua minggu lagi.

Tidak berapa lama kemudian, beliau mendapat panggilan daripada adik angkatnya, Zai, yang sudah lama tidak ditemui dan itulah permulaan Nasir pula diambil menyertai kumpulan terbabit.

” Zai datang dengan membawa tiga bungkus nasi kandar selepas saya cakap, sudah tiga hari kami bertiga tak makan nasi. Zai ialah teman wanita Nasir yang ada sekali dengannya waktu itu.

” Saya memang kenal Nasir di Johor lagi, tetapi tidak pula saya tahu sudah tiga bulan dia berada di KL. Sebelum balik, Zai, yang tahu kami sedang mencari pemain gitar bes, meminta kami mengambil Nasir.

” Lengkap empat orang, kami meterai kontrak dengan Red Rooster. Ketika mula-mula buat persembahan, pengunjung terkejut sebab masa itu rentak raggae lebih dominan.

” Senarai lagu kami semakin panjang. Kiranya banyak lagu band popular boleh kami bawa. Pengurusan pula bagus.

” Kami dapat gaji seperti dijanjikan dan ramai pengunjung mula membanjiri kelab terbabit,” katanya.

Pengurus Man Kidal pegang senapang

Dalam tempoh setahun, beliau berjumpa kembali kawan sekelasnya ketika bersekolah di Larkin, Nordin, yang menyaksikan persembahannya di kelab berkenaan selain memanggil Man Kidal.

” Itu yang saya cakap, Search dikumpulkan oleh saya. Bukan mahu cakap kosong, saya yang cari hampir semua tunjang utama. Nordin pula kata, dia ada gitar di rumah dan berminat menyertai kami.

” Kebetulan pula waktu itu Hillary mahu menjadi pemuzik pengiring (Datuk) Khatijah Ibrahim ke Jerman. Sekali lagi kami terpaksa mencari pengganti.

” Teringatkan Man Kidal, saya dan Nasir balik semula ke Johor Bahru untuk bertemu dengannya. Hari pertama saya ke rumahnya, pengurus beliau ketika itu sudah bagi amaran sambil memegang senapang.

” Keesokan harinya kami kembali semula ke rumah keluarganya dan saya nekad merempuh masuk. Ayah Man Kidal yang lama saya kenali bagi restu.

” Dia maklumkan, Man Kidal sudah bertunang, tetapi belum ada duit untuk berkahwin.

” Jadi cepat saja kami ajukan kontrak dan yakinkan rumah juga sudah ada. Ketika itu, pengurusan Red Rooster sudah ada rumah sewa sendiri di Bukit Bandaraya Bangsar,” katanya yang mengakui bermulalah episod kegemilangan Search di kelab terbabit.

Selepas tinggal serumah, katanya, mereka sentiasa berlatih bagi memantapkan skil, malah Nordin juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada Man Kidal yang sememangnya sudah popular di dalam kumpulan Lefthanded.

M. Nasir datang tengok persembahan, dan bermulalah…

” Boleh dikatakan, setiap malam kelab itu penuh dengan pengunjung. Band terkenal tempatan dan luar negara juga ada singgah di situ. Pada masa sama, ramai penerbit tengok persembahan kami.

” Antaranya Fauzi Marzuki daripada EMI. Selang beberapa hari, (Datuk) M Nasir yang memang kami ketahui sentuhannya dalam Kembara juga datang.

” Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, semua ahli bersetuju komposer berkenaan menerbitkan album sulung kami.

Tak lama lepas tu, Search menjadikan M. Nasir sebagai penerbit album pertama serta kemudiannya menandatangani kontrak rakaman dengan Polygrams Record sebuah syarikat rakaman di Singapura.

Kumpulan ni dah menghasilkan tiga album studio terawal bersama Polygram. Iaitu Cinta Buatan Malaysia (1985), Langit dan Bumi (1986) dan Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987).

Dari situ, nama kumpulan ni meningkat naik sehingga menerima anugerah Penyanyi Berkumpulan Paling Popular Berita Harian beberapa kali dari tahun 1987, hinggalah dirampas kumpulan IKLIM pada tahun 1990.

Selepas ada sedikit konflik dengan Polygram Record, Search beralih ke Pacific Records sebagai label edaran. Mereka juga menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Go-Search Sdn. Bhd. serta membuat rakaman album di sini.

Maka, bermulanya detik fenomena kumpulan Search dirasi apabila album hit pertama mereka, Fenomena dikeluarkan pada tahun 1989 serta termuatnya lagu ‘Isabella’.

” Di Malaysia, ia dijual lebih 250,000 unit manakala di Indonesia jualannya mencecah dua juta unit!“- Petikan dari Harian Metro

Selain membuat persembahan live dan jelajah ke seluruh negara termasuk Indonesia, dua buah filem berkaitan mereka turut dihasilkan iaitu filem Fenomena (1990) dan Isabella (1990) yang dibintangi sendiri oleh Amy Search.

Sebenarnya banyak lagi kisah Search yang ingin diceritakan termasuk bagaimana mereka hampir dibubarkan, ahli kumpulan keluar masuk dan silih berganti, namun biarlah ia menjadi sejarah.

Kisah kumpulan Search ni adalah salah satu contoh bagaimana susah payah sesebuah penggiat seni dalam industri muzik negara.

Apa yang menarik, kumpulan Search juga ada membuat impaknya yang tersendiri dalam industri dalam bentuk kritikan dan teguran.

Ini berlaku apabila Amy Search beberapa kali menegur radio-radio tempatan yang lebih banyak memainkan lagu Indonesia berbanding lagu tempatan.

Namun begitu, jasa dan inspirasi yang dah diberi oleh kumpulan ni kepada industri perlulah dikenang.

Al-fatihah buat pengasas bersama kumpulan Search, Allahyrham Yazit Ahmad.

Sumber:bharian dan soscili via https://thebolalive.com/

Kasut Aliph x Search. Amy dan Nasir tampil bersuara buat ramai peminat tak senang duduk

Kuala Lumpur: Tindakan bekas penyanyi kumpulan Search, Amy; pemain bass, Nasir dan waris pemain dram, Allahyarham Yazit Ahmad mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions jika tidak menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran mengundang reaksi berbeza kebanyakan peminat Search di media sosial.

Rata-ratanya dilihat memihak kepada dua lagi anggota Search iaitu pemain gitar, Noordin dan Kid yang didakwa menjadi ‘mngsa’ konflik itu.

Malah, mereka turut mengkritik Amy yang dikatakan tidak mementingkan ikatan persahabatan sebaliknya lebih kepada soal material terutama membabitkan penggunaan nama Search untuk tujuan komersial.

Ada di antara mereka turut meminta Amy dan Nasir menggunakan ‘budi bicara’ serta memberi ruang kepada Noordin dan Kid menggunakan nama Search dalam menjana pendapatan mereka.

Malah, segelintir peminat Search turut mempertikaikan tindakan Amy melarang penggunaan nama Search sedangkan dia turut menggunakan jenama Amy Search selain sudah meninggalkan kumpulan itu, Mac tahun lalu.

Amy Search Sudah Daftar MyIPO

Dalam masa sama, Amy turut membuat penjelasan di ruangan komen media sosial berkenaan mengatakan nama Amy Search sudah didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Malah, nama Search turut didaftarkan di bawah MyIPO dan ia adalah milik lima anggotanya iaitu Amy, Nasir, Noordin, Kid dan Yazit.

Namun, jika salah seorang daripada mereka mahu menjalankan perniagaan menggunakan nama Search, ia perlu mendapat kebenaran semua.

Sementara itu, Amy ketika ditanya mengenai hak Noordin dan Kid menggunakan nama Search berkata, mereka boleh menggunakan nama Search jika ada persetujuan semua anggota Search.

Ini berikutan tindakan mereka mengadakan persembahan menggunakan nama Search dengan meletakkan Akim sebagai penyanyi di Melaka, baru-baru ini.

Nasir berkata, dia tidak mahu terbabit dalam persembahan itu kerana baginya, itu bukan Search.

“Jika Noordin dan Kid nak buat persembahan, gunalah nama Din Search & Kid Search feat. Akim, jangan gunakan nama Search,” katanya.

Dalam pada itu, Amy mengakui wujud perselisihan faham dengan Nasir ketika dia mengumumkan keluar dari Search, Mac tahun lalu.

“Kami sudah berdamai sekarang. Biasalah, kawan-kawan lama. Kami tak pernah berbincang mengenai saya berundur secara tetap. Hak dan nama saya terhadap Search tidak pernah hil4ng atau saya lepaskan. Itu memang hak saya dan empat lagi anggota Search,” katanya.

Nasir mohon peminat Search bertenang

Kuala Lumpur: Pemain bass Search, Nasir mengajak netizen terutama peminat kumpulan rock legenda itu supaya memahami dengan mendalam mengenai isu hak cipta dan harta intelek sesuatu jenama itu.

Ini berikutan isu penggunaan nama Search untuk tujuan perniagaan seperti dilakukan individu dan satu syarikat, baru-baru ini.

Isu terbabit turut panas dengan reaksi kebanyakan peminat Search yang dilihat seperti tidak bersetuju dengan tindakan Amy dan Nasir itu.

Nasir dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, meminta supaya semua pihak bertenang dan menyerahkan proses perundangan kepada mereka yang lebih arif.

“Saya dengan rendah diri meminta supaya semua pihak terutama peminat-peminat yang kami sayangi bertenang sebentar. Kita serahkan kepada yang arif untuk tangani isu ini.

“Ini bukan pergaduhan atau peperangan tetapi suatu transaksi perniagaan yang memerlukan penjelasan dan pencerahan.

“Saya percaya peminat, penyokong Search serta rockers adalah golongan yang cintakan keamanan dan kedamaian,” tulisnya.

Menurutnya, akibat kekurangan pemahaman mengenai isu utama menyebabkan Search terutamanya Amy dihujani kecaman.

“Isu hak cipta dan harta intelek adalah perkara utama. Kita lihat pelbagai komen serta ragam daripada netizen terhadap isu yang sedang hangat ini.

“Ada yang okay dan berikan nasihat yang baik dan ada yang membuat komen negatif terhadap Search. Tak kurang juga yang mencerca Amy kononnya bekas anggota Search,” tulisnya.

Menurut Nasir, kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya bersama Amy dan waris Allahyarham Yazit perlu dibaca dengan teliti sebelum membuat andaian.

“Ramai yang kurang mengerti atau tidak memahami isu dan apa yang sedang berlaku sebenarnya. Kenyataan media yang Search, kelmarin harus dibaca dan diteliti dengan bijak.

“Perkara yang dinyatakan di dalam kenyataan media itu ialah Search mendapat tahu bahawa Home of Champions (HOC) menjalankan perniagaan menggunakan nama Search atau imej-imej yang berkaitan dengan Search tanpa kebenaran kami. Malah tidak ada perjanjian bertulis walaupun sekeping kertas. Selain itu, tiada perbincangan rasmi bersama semua anggota Search,” tulisnya.

Nasir berkata, dia bersama Amy dan waris Allahyarham Yazit Ahmad tampil demi pembelaan, keadilan dan hak mereka yang sewajarnya.

“Perjuangan ini adalah untuk semua lima anggota yang ada hak di dalam Search mahupun yang sudah tiada,” tulisnya.

Semalam, Amy, Nasir dan waris Yazit dalam sesi Instagram Live memberi tempoh tujuh hari terhadap individu bernama Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions untuk menghentikan kegiatan serta perniagaan yang didakwa menggunakan nama kumpulan itu tanpa kebenaran.

Berikut pula reaksi dari netiizan

“Susah klau ade sikap tamak.ni….islam galak kita membudayakan kongsi rezeki…tapi bab duit depa org islam sendiri suke guna kaedah org putih hak cipta bagai…semualah klau peniaga guna kaedah kapitalis…huntong double tripple lps tu bange kata usahawan berjaya..Huntongnya 100%…zakatnya 30% pun berkerut dah…itu contoh…tp dlm.kes brand ni xbolehkah kita ni kompromi…jgnlah ade sikap monopoly x baik kwn tu pun ade tanggungan…bx org lain ahli anggota susah senang nak penaik name group jgk…adoi…susahlah…ingat makin tua maakin kita matang…tp law org putih jgk depa taksub”

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber : http://trendingsangat.pw/

Apa komen anda?

Be the first to comment on "Masa Dalam Bas, Amy Search Tiba-Tiba Pusing Belakang Cakap Kat Yazit, ‘Zit Kalau Lu Tipu, Gua M4ti’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*