“TERIMA kasih anak mak sebab sudi terima susu mak. InsyaAllah kamu kini berada di tempat lebih indah”

“TERIMA kasih anak mak sebab sudi terima susu mak. InsyaAllah kamu kini berada di tempat lebih indah,”.

Itu luahan Sapriani Saipul, 28, yang reda dengan pemergian anak sulungnya kelmarin selepas sehari dilahirkan.

Menurutnya, dia tidak menyangka terpaksa melalui episod hitam itu berikutan kandungannya berada dalam keadaan baik dan sihat sepanjang sembilan bulan.

“Saya menjalani kehidupan seperti biasa, sehinggalah saya mengalami sakit hendak bersalin selama tiga hari dan masih tiada bukaan untuk bersalin.

“Saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Ahad lalu namun masih tiada bukaan untuk bersalin biarpun selepas doktor melakukan proses gesaan bersalin (induce).

“Akhirnya saya terpaksa akur untuk dibedah kerana doktor memaklumkan jantung anak dalam keadaan lemah dan perlu diselamatkan segera,” katanya ditemui di Klang hari ini.

Katanya, sebaik anak perempuannya yang diberi nama Hadiati itu dilahirkan, kesihatan bayi itu baik dan stabil.

“Selepas melahirkan anak Selasa lalu, saya sempat beberapa kali menyusukan anak dan menukar lampin pakai buang. Saya beranggapan semuanya sudah selesai dan anak sihat.

“Namun pada 10 malam, anak tidak berhenti menangis dan dia dikejarkan ke unit kecemasan berikutan jantungnya lemah.

“Sekali lagi saya diuji kerana nyawa anak dalam bahaya. Ternyata rezeki saya untuk mendakap anak dan memberinya kasih sayang hanya bertahan sehari,” katanya.

Hadiati meninggal dunia 5.30 pagi Rabu lalu akibat komplikasi jantung selepas sehari dilahirkan dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang 12.30 tengah hari dengan bantuan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) pada hari sama.

Sapriani berkata, dia dan suami, Mansorshah, 32, tidak akan dapat melupakan memori singkat bersama anak syurga mereka biarpun terpaksa meneruskan kehidupan tanpa bayi di sisi.

“Saya tak dapat lupakan wajah anak yang tenang selepas dia menghembuskan nafas terakhir.

“Semua ini ketentuan Allah SWT. Saya tidak layak untuk mempersoalkan mengapa ia terjadi kepada saya, namun saya bersyukur kerana berpeluang memegang anak biarpun hanya sekejap,” katanya.

Kisah pilu Sapriani turut tular di laman sosial selepas ia dimuat naik menerusi akaun Facebook UKVJ kelmarin

Sumber hmetro

Apa komen anda?