Tiket Konsert M Nasir habis dijual!

Penganjur konsert, Shiraz Projects telah menambah sehari lagi tarikh persembahan untuk ‘Konsert M Nasir Satu Hikayat – 40 Tahun Perjalanan’ selepas tiket pada 23 November telah habis dijual.

Mengikut Datuk M Nasir, penjualan tiket untuk malam kedua dibuat atas permintaan ramai orang.

“Alhamdulillah, atas permintaan ramai yang menyebabkan penambahan malam kedua pada 24 November ini. 

“Mungkin kerana peminat sudah lama tidak menyaksikan konsert solo saya,” kata Datuk M Nasir.

Tambah M Nasir lagi, ini adalah peluang terbaik untuk peminat mendapatkan tiket tambahan yang akan dijual pada Isnin ini.

“Jadi, saya rasa inilah masanya buat para peminat yang sebelum ini sedih dan mengeluh kerana malam pertama habis dijual untuk mendapatkan tiket mereka dengan kadar segera. 

“Dua malam untuk sama-sama menyusuri 40 tahun perjalanan muzik saya dalam satu hikayat,” katanya lagi.

Konsert bakal diadakan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Konsert ini bertujuan sebagai mengenang suka-duka 40 tahun M. Nasir bergelar anak seni di Malaysia.

Manakala, di konsert itu juga M Nasir bakal mendendangkan lagu-lagu yang pernah dihasilkannya buat penyanyi solo dan kumpulan terkenal tanah air.

Persembahan seniman tersohor itu bakal diiringi kumpulan muziknya yang dikenali dengan The Gong yang mana Aznan Alias akan bertindak selaku pengarah muzik.

Apa komen anda?