Individu Yang Komen ‘Anak Hang Anak Sah Taraf Ke?’ Dah Mohon Maaf, Tapi Tak Sangka Ini Jawapan Rita Rudaini

Pelakon Rita Rudaini akhirnya menarik nafas lega selepas dua individu yang menulis komen berniat jahat terhadap dia dan anak-anaknya tampil membuat permohonan maaf di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya kira-kira pukul 9.30 malam Rabu.

Menurut Rita, dia berpuas hati selepas kedua-dua lelaki itu memberikan kerjasama dengan hadir dan membuat permohonan maaf secara terbuka seperti yang dituntutnya minggu lalu.

” Mereka hadir bersemuka dengan saya atas kesilapan mereka sendiri. Melalui percakapan yang direkod, kedua-duanya mengakui kesilapan berdasarkan komen yang ditulis di akaun Instagram dan Facebook saya.

Ahmad Najib Mat Arif membuat permohonan maaf terhadap Rita pada Rabu.

” Saya berharap permohonan maaf mereka ikhlas dan tidak akan buat lagi. Biar perkara ini menjadi pengajaran kepada semua,” katanya kepada mStar.

Bagaimanapun, menurut peguam Rita, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan berkata, anak guamnya itu masih masih mempertimbangkan tindakan saman terhadap dua lelaki terbabit iaitu Ahmad Najib Mat Arif, 38, dan Hafiidz Ahmad Mustaffa, 39, bergantung kepada kesan yang ditinggalkan terhadapnya.

“ Isu ini tidak akan terhenti di sini sebab ia sudah menular di semua platform media sosial sehingga anak-anak Rita pun ditanya dengan pelbagai soalan termasuklah status mereka.

“ Walaupun kedua-dua mereka sudah membuat permohonan maaf dan bersemuka sendiri dengan Rita, tetapi atas faktor harga diri, kerjaya dan kesan ke atas anak guam saya harus mempertimbangkan semula tindakan saman malu ke atas mereka,” katanya.

Dua individu berkenaan tiba di perkarangan balai polis kira-kira pukul 8.30 malam dengan memakai pakaian serba hitam serta berseluar jeans.

Kedua-dua lelaki berkenaan hadir bersemuka dengan Rita dan mengakui kesilapan mereka menulis komen yang menjatuhkan reputasinya.

Pada 21 Oktober lalu, pelakon Rita Rudaini membuat laporan polis terhadap seorang pengguna laman Instagram yang mempersoalkan status sah taraf anak-anaknya di Balai Polis Kota Damansara, Selangor kira-kira pukul 2.30 petang.

Hafiidz Ahmad Mustaffa bersemuka dengan Rita Rudaini.

Peguam yang dilantik Rita iaitu Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan kemudiannya diberi tempoh masa selama 14 hari untuk pengguna Instagram dengan nama Ahmadsan81 tampil bersemuka dan membuat permohonan maaf.

Rita dikurniakan dua cahaya mata Airit Rayyan Rizqin, 10, dan Airit Qaqa Arjuna, 8.

Rita berkahwin dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008 namun mengambil keputusan untuk bercerai pada September 2013.

Apa Kata Anda? Dah Baca Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Apa komen anda?