SIKAP prihatin Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi terserlah apabila baginda turun sebanyak dua kali daripada kenderaan rasminya untuk menyantuni mangsa kemalangan di Cyberjaya, hari ini.
Perkara itu dikongsi menerusi dua rakaman video berserta dua gambar di laman sosial Instagram, istana_negara, 11 pagi tadi.
Difahamkan, baginda dalam perjalanan pulang selepas selesai Mesyuarat Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya sebelum terserempak dengan dua kemalangan berkenaan.
Menerusi video pertama yang dikongsi, baginda turun dari kenderaan untuk bertanyakan mangsa kemalangan di Cyberjaya membabitkan Toyota Vios dipercayai terbabas akibat jalan licin.
Baginda kelihatan turut melangkah penghadang besi pembahagi jalan untuk ke laluan bertentangan bagi bertanyakan khabar mangsa kemalangan sambil diiringi pegawai istana dan pegawai pengiringnya.
Turut kelihatan dalam rakaman video sama adalah Datuk Paduka Maharajela Azuan Effendy Zairakitnain.
Sementara itu, menerusi rakaman video kedua pula, baginda turun dari kenderaan untuk bertanyakan mangsa kemalangan berhampiran Plaza Tol MEX, Cyberjaya membabitkan Honda City dipercayai turut terbabas akibat jalan licin.
Kelihatan dalam video sama, mangsa kemalangan, petugas tol dan anggota polis trafik turut mengambil kesempatan bergambar kenangan bersama baginda.
Menerusi laman sosial itu, baginda mengingatkan kepada semua pemandu supaya memandu berhati-hati ketika hujan lebat bagi mengelak kemalangan.
Ini bukan kali pertama Sultan Abdullah turun dari kenderaan untuk melihat dan bertanyakan khabar mangsa kemalangan malah, baginda pernah melakukan perkara sama berhampiran jalan susur dari pintu utama Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul Halim, pada 5 Ogos lalu.
Malah, pada 26 Jun lalu, baginda turut membantu mangsa kemalangan di Putrajaya ketika dalam perjalanan menghadiri Mesyuarat Pra-Kabinet dengan Dr Mahathir di Istana Melawati.
Sumber Hmetro