Tiga imam menjadi ekor Harimau Malaya, namun semasa mereka sampai di stadium tidak sempat jadi imam solat maghrib kerana ini

Perlawanan bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari dilihat masih terasa bahangnya. Kemenangan yang dicatatkan oleh pasukan Malaysia benar-benar memberi semangat luar biasa kepada pemain dan juga penyokong untuk mengharungi perlawanan seterusnya.

Dalam kemeriahan perlawanan antara pasukan Malaysia dan Thailand tempoh hari, tanggungjawab kepada Maha Pencipta nyata tidak dilupakan.

Sama-sama berjemaah solat di stadium

Menerusi laporan daripada Mstar Online, tiga orang imam ditugaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mengetuai solat Isyak di stadium keramat itu.

Menurut Mufti Wilayah di Twitternya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tiga imam tersebut juga sedia membantu ‘ekor Harimau Malaya’ mengenai kemusykilan tentang fiqh musafir. Ketiga-tiga imam tersebut adalah Ustaz Ridzuan, Ustaz Ashraf dan Ustaz Anas.

Maghrib diimamkan anak muda juga

Ustaz Ridzuan berkata kepada Mstar, mereka telah menggunakan pengangkutan awam dari Putrajaya menuju ke Bukit Jalil. Sesampainya di sana mereka terus menunaikan solat Maghrib yang ketika itu diimamkan oleh seorang pemuda.

Melalui pemerhatian mereka, surau yang terdapat di sekitar LRT Bukit Jalil dan stadium dipenuhi oleh orang awam terutamanya orang muda.

Tambahnya, kira-kira 200 orang memasuki surau tersebut dalam satu-satu masa dan perkara itu berlanjutan sehingga mereka selesai menunaikan tanggjungjawab sebagai umat Islam.

Ustaz Ridzuan juga memberitahu bahawa para penyokong Harimau Malaya dilihat memenuhi sekitar stadium untuk menunaikan solat secara berjemaah dan fenomena tersebut begitu menyejukkan hati

Kali kedua selepas AFF 2018

Penyelidik di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu turut memberitahu ini adalah kali kedua beliau mengimamkan solat Isyak dan seterusnya menonton perlawanan Pasukan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil setelah final Piala AFF 2018 di venue yang sama.

Jelasnya, bukan sahaja penyokong Harimau Melaya yang sama-sama berjemaah dan mendoakan kesejahteraan perlawanan tersebut, malahan pemain-pemain juga turut menunaikan tanggungjawab itu secara berjemaah sesama mereka

Perlawanan saringan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Thailand tempoh hari telah memperlihatkan Malaysia memenangi dengan jaringan 2-1.

Persembahan cantik Malaysia telah membuatkan para pemain dan juga penyokong berpuas hati serta menjadi tonik terbaik mereka menentang Indonesia selasa depan.

Sumber : mStar Online, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Apa komen anda?