SEPANJANG 19 tahun bersahabat, banyak pengalaman suka duka sudah dilalui dua rakan karib ini.
Maka tidak hairanlah kenapa Wan Muhammad Izzat Wan Ruslan, 24, cukup menghargai rakan karibnya.
Mesra disapa Izzat, dia pada minggu lalu membuat kejutan hari lahir ke-23 buat rakan sekampungnya, Mohamad Azrie Mohd Azahar.
Video kejutan berupa sepasang kasut futsal itu kemudiannya dimuatnaik ke Twitter sebelum menjadi tular dan menerima hampir 40,000 tontonan.
Kata Izzat, dia sanggup menempuh perjalanan dari Johor ke Shah Alam, Selangor, semata-mata untuk meraikan rakannya yang digelar sebagai Yie.
“Hari lahir dia pada 11 November, tapi saya datang pada 13 November. Saya tak dapat cuti.
“Kami ni rakan sekampung dari Pengkalan Chepa, Kelantan. Walaupun berbeza umur, dia antara kawan baik saya sejak kecil.
“Banyak pengalaman suka duka kami. Antaranya mandi sungai senyap-senyap lepas balik sekolah. Sanggup baring atas jalan tar untuk keringkan baju, takut kena marah,” ujarnya kepada mStar.
Bercerita lanjut mengenai kejutan yang diberi, Izzat menghadiahkan sepasang kasut buat Yie memandangkan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu suka bermain futsal.
Kata Izzat, dia tidak kisah berhabis duit untuk rakan baiknya memandangkan sudah banyak yang dilalui mereka selama ini.
“Saya tak tahu nak bagi hadiah apa. Dia memang suka main futsal. Kasut futsal dia koyak, dah pakai dari semester satu sampai semester enam.
“Jadi saya beli untuk dia sepasang. Masa bagi tu, nampak dia cover nak nangis. Saya pun rasa sebak nak menangis.
“Dia kata terima kasih, tak jangka dapat hadiah. Dia pun dah lupa pasal hari lahir sendiri,” ujar juruteknik yang bertugas di Singapura itu.
Menyifatkan rakannya sebagai seorang yang cukup baik, Izzat juga tidak menjangka perkongsian video kejutan berkenaan akan menjadi tular.
“Saya share suka-suka. Nak kongsi perasaan bila bagi hadiah kat kawan. Biasa orang bagi pada kekasih
“Ada rezeki lebih, boleh kongsi dengan dia. Ucapan saya kepada Yie, jangan tinggalkan saya.
“Saya sayang kawan saya. Tak pernah cakap depan-depan macam ni. Banyak memori kami nakal-nakal dari zaman kecil,” ujarnya lagi.
Selain hadiah kasut bola, Izzat dan Yie turut melakukan pelbagai aktiviti semasa kunjungannya ke Shah Alam baru-baru ini.
Antaranya, menonton wayang, berenang, bermain besbol, bermain game dan banyak lagi.
Sumber Mstar