VOKALIS kumpulan Screen, Gmie, 48, reda kehilangan cucu sulung, Siti Adinda Raudhah Muhammad Ridzzuan, berusia 26 hari yang dilahirkan pramatang pada 23 Oktober lalu.
Gmie atau nama sebenar Hajimi Ibrahim berkata, dia dan keluarga tetap bersyukur kepada Allah SWT meskipun dipinjamkan buat seketika bayi syurga comel seindah namanya.
“Sebagai datuk, di sebalik kesedihan kerana kehilangan cucu sulung yang ditunggu-tunggu, saya reda kerana sesungguhnya yakin Allah lebih mengetahui segala terbaik buat hamba-Nya.
“Allah tidak akan uji sesuatu perkara itu jika hamba-Nya tidak mampu menghadapinya. Sesungguhnya Allah akan memberi tempat yang terbaik di sisi-Nya buat cucu saya,” katanya.
Menurutnya, bayi sulung kepada anak perempuannya, Siti Hadirah yang mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Ridzzuan Mashan pada 23 Mac lalu itu sepatutnya lahir pada Januari tahun depan.
Bagaimanapun katanya, Siti Hadirah terpaksa melahirkan bayinya ketika kandungan berusia enam bulan dua minggu kerana air ketuban pecah.
“Apapun, sepanjang tiga minggu cucu saya di hospital, dapat jugalah Siti Adinda Raudhah mengenal ibu bapa serta datuk dan neneknya.
“Untuk saya, satu nikmat yang indah daripada Allah apabila jari digenggam erat oleh cucu sendiri.
“Ia menjadi kenangan abadi yang pasti tidak akan saya lupakan dalam hidup ini. Alhamdulillah,” katanya.
Gmie berkata, cucunya yang dilahirkan dengan berat 900 gram itu juga berpeluang menerima susu ibunya.
Ditanya kemungkinan yang menjadi punca Siti Hadirah mengalami pecah air ketuban awal, katanya, barangkali anaknya kurang rehat kerana sibuk bekerja.
Siti Hadirah yang bertugas sebagai guru adalah anak sulung daripada lima beradik, hasil perkongsian hidup Gmie dan isteri, Siti Royani.
Jenazah Allahyarham Siti Adinda Raudhah yang disahkan meninggal dunia semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9, Kampung Medan, Sijangkang, Selangor pada jam 9.40 pagi hari ini.
Gmie berkata, dia juga mengucapkan terima kasih kepada saudara mara, kenalan dan orang ramai yang mendoakan terbaik buat Allahyarham cucunya.
“Terima kasih di atas segala doa yang baik-baik itu. Hanya Allah saja yang mampu membalasnya,” katanya.
Sebelum ini kepada Harian Metro, Gmie pernah berkongsi pengalaman dia dan isteri mengalami alahan teruk termasuk mengidam disebabkan kehamilan anaknya, Siti Hadirah.
Sumber Hmetro