Dua Petugas KKM Bantu Warga Emas Mendapat Perhatian Ketua Pengarah Kesihatan, Ini Reaksi Dr Noor Hisham, Kata Kata Beliau Memang Padu

“SHAHIR dan Mastura, anda wira kami”, demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menzahirkan pujian terhadap dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi perkongsian di Facebook, Dr Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Inspektor Kesihatan Shahir Razali dan Mastura Maznor yang beliau anggap sebagai wira, kerana mereka benar-benar menghayati slogan Kementerian Kesihatan ‘Kami Sedia Membantu’.

“Melayan insan dengan lemah lembut tanpa sempadan kaum atau agama. Inspektor kesihatan kami Shahir Razali telah menggendong mak cik warga emas berbangsa Cina ke pusat ujian Covi1d-19.

“Berpuasa pada bulan Ramadan dan memberikan khidmat kepada orang yang memerlukan ketika memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE), sesungguhnya anda adalah wira kami. Sangat bangga dengan anda berdua dan terima kasih,” kata Dr Noor Hisham dalam hantaran di Facebooknya malam Sabtu.

Bersama hantaran itu, turut dilampirkan dua gambar yang satu daripadanya sedang memikul wanita warga emas itu manakala seorang lagi sedang memegang walker dan imej kedua menunjukkan empat petugas barisan hadapan yang memakai sut PPE dengan tertera perkataan di sarung tangan mereka, We Love Malaysia, Stay Safe (Kami Sayang Malaysia, Kekal Selamat).

Sikap baik mereka itu juga berjaya menarik perhatian netizen yang memberikan pujian dan penghargaan di ruang komen, apabila hantaran itu menerima lebih 16,000 tanda suka dan 756 perkongsian dalam tempoh satu jam.

Ida Zulridah mencatatkan: “Alhamdulillah… tahniah En Shahir Razali dan Mastura Maznor.. kami bangga dengan anda dan tenaga kerja KKM… terima kasih Datuk, terima kasih barisan hadapan.”

Chong Choy Lin pula menulis: “Terima kasih En Shahir Razali dan Mastura Maznor. Tindakan anda telah menyentuh hati kami semua. Terima kasih sekali lagi kerana menunjukkan semangat dan tuntutan profesion anda yang sebenarnya… Saya percaya ramai lagi barisan hadapan yang mempunyai hati yang mulia seperti anda… Tk barisan hadapan.”

Sementara itu, Shylaja Ramotharan dalam hantarannya: “Rakyat Malaysia saling menolong tanpa mengira bangsa. Menyanjung tindakan anda Abang Shahir Razali dan Kakak Mastura Maznor. Semoga semua usaha anda dipermudahkan.” – BERNAMA

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Sumber: TRANSFORMASI

Apa komen anda?