“Bukan Masalah Kasut, Tapi… – 3 Kali Tersungkur, Peserta Top 20 Dewi Remaja Farzana Zainul Masih Mampu Tersenyum Walaupun Sakit

Model dan pelakon iklan, Farzana Zainul menafikan masalah kasut menjadi punca dia terjatuh sebanyak tiga kali ketika sedang melalui pentas peragaan untuk memperkenalkan barisan peserta Top 20 Dewi Remaja 2019 semalam.

Rakaman video Farzana tersungkur sebanyak tiga kali mula tular dan diperkatakan netizen.

Namun begitu, nasib tidak menyebelahi Farzana kerana dia tidak terpilih untuk menyertai barisan finalis Top 12 Dewi Remaja 2019.

“Bukan masalah kasut. Kasut ini telah saya gunakan lebih setahun dan saya merasakan kasut yang saya pakai ini merupakan kasut paling selesa yang pernah saya ada.

“Sebenarnya, karpet yang berada di atas pentas itu berlubang. Juri tetap Dewi Remaja, Scha Alyahya juga hampir terjatuh ketika melalui pentas terbabit.

“Sejujurnya, saya rasa kecewa tak dapat mempersembahkan cara ‘catwalk’ terbaik dan terjatuh sebanyak tiga kali.

“Tapi semuanya sudah tertulis. Walaupun terpaksa menahan kesakitan terjatuh berulang kali, saya reda dengan perkara itu dan meneruskan sahaja perjalanan sambil tersenyum.

“Saya juga berterima kasih kepada alumni Hero Remaja, Harris Annuar kerana membantu saya untuk bangun ketika saya jatuh buat kali yang ketiga,” katanya.
 

Apa komen anda?