Panggilan ustaz terlalu tinggi buat saya – Ali XPDC

“WALAUPUN kini ada yang memanggil saya ustaz, namun gelaran itu tidak layak buat saya,” kata vokalis XPDC, Ali, 51.

Ali atau nama sebenar Mohd Ali Ismail sudah berhijrah dengan giat mendalami ilmu agama lebih lima tahun lalu.

Menurut Ali yang juga bekas penyanyi Terra Rossa, panggilan ustaz itu terlalu bermakna dan sangat tinggi buatnya yang masih dalam proses belajar.

“Saya masih jahil dalam banyak perkara lagi. Namun, apabila ada yang memanggil saya ustaz, maka diaminkan saja.

“Bagi saya, ustaz ini adalah panggilan yang baik, terlalu bermakna dan sangat tinggi nilainya,” katanya.

Apapun katanya, sekarang fokus utamanya memang ke arah terus mendalami ilmu agama dan jihad ke jalan Allah SWT.

“Umur saya pun sudah 51 tahun sekarang. Kalau dikira semula, ia sudah makin hampir ke penghujung,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa berdoa mengharapkan Allah mengampunkan dirinya dan memberi pengakhiran yang baik dalam hidupnya.

Berbicara mengenai karier seninya, Ali berkata, dia masih lagi menyanyi dan pada masa sama berdakwah.

Katanya, beberapa tahun lalu, dia sebenarnya pernah terfikir untuk meninggalkan karier nyanyian sebaik saja mula mendalami agama.

“Namun, selepas mengambil kira nasihat seorang ustaz yang meminta dipertimbangkan keputusan itu, saya cuba memahaminya.

“Kini, saya sedar bahawa sesungguhnya perancangan Allah itu adalah terbaik. Menyanyi adalah kelebihan dikurniakan Allah kepada saya dan masih boleh berdakwah melaluinya.

“Ditambah lagi, segala cabaran penghijrahan seakan dipermudahkan walaupun ramai yang mengenali dan mengetahui latar belakang saya sebagai penyanyi rock,” katanya.

Sehubungan itu, Ali berkata menerusi aktiviti keagamaan dan program dakwah disertai sudah membawanya berkelana hingga ke luar negara.

“Pada Februari hingga Ogos lalu saya sudah ke India menyertai aktiviti keagamaan dan program dakwah dianjurkan.

“Jiwa saya sangat tenang dan selesa melakukannya. Ia juga sentiasa membuatkan saya rindu,” katanya.

Bagi peminat Ali yang pernah popular dengan lagu Bunga Angkasa sekitar 1990-an lalu, dia akan terbabit dalam persembahan amal Artis Legenda 90-an (2.0) di Kuala Lumpur pada 31 Januari 2020 nanti.

Selain Ali, persembahan amal itu turut disertai penyanyi lain seperti Ameng Spring, Nizam Laksamana, Amir Ukays, Gmie Screen, Sham Visa, Zarul Umbrella dan penyanyi popular, Khai Bahar.

Sumber Harian Metro

Apa komen anda?