Pelakon dan penyanyi Lufya Omar meluahkan rasa kesal dengan sikap suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz yang dianggap seperti mahu melengahkan masalah rumah tangga mereka.
Menurut laporan Harian Metro, Lufya terkilan dengan suaminya yang tidak hadir pada sebutan permohonan cerai yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di Petaling Jaya, hari ini.
“Saya sudah empat bulan lebih digantung tidak bertali… dia (suami) susah dihubungi dan tidak mahu berbincang dengan baik.
“Dia juga tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik terhadap saya dan anak kami,” katanya.
Bintang Akademi Fantasia itu juga turut merasakan jiwanya didera disebabkan perbuatan suaminya.
“Sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan dengan baik, namun dia seolah-olah mahu melengahkan hal ini.
“Siapalah yang berkahwin mahu bercerai, tapi saya dapat petunjuk sebaliknya.
“Saya tidak mahu lagi terus berada dalam perkahwinan yang penuh toksik ini,” katanya.
Ketika disoal mengenai tindakan suaminya membuat laporan polis kerana tindakan dan tuduhan keterlaluannya sebelum ini, Lufya berkata, dia belum menerima apa apa arahan atau saman.
“Berani kerana benar…. nak saman atau apa sekali pun saya bersedia,” katanya.
Terdahulu, Lufya sebagai plaintif hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari untuk sebutan permohonan cerai yang difailkan olehnya terhadap suaminya, pada bulan lalu.
Bagaimanapun, Dr Che Muhammad Hafiz yang juga defendan tidak hadir dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof.
Dalam prosiding itu, peguam syarie Fadhlina Siddiq yang mewakili Lufya memaklumkan saman kepada defendan sudah diserahkan di tempat kerjanya di Jempol, Negeri Sembilan pada 7 Oktober lalu.
“Pihak kami tiada maklumat mengenai ketidakhadiran defendan pada hari ini dan memohon tarikh lain untuk sebutan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya.
Shukran kemudian menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak, Laana Haura, yang kini berusia dua tahun.
Kisah pergolakan rumah tangga mereka dihidu media pada Oktober tahun lalu hingga diperkatakan ramai.
Turut kelihatan menemani Lufya sepanjang prosiding hari ini ialah rakan selebriti, Heliza Helmi dan Zulin Aziz.
Sumber: Harian Metro