Jika teruskan perceraian, ini yang akan dilakukan oleh Adira

PENYANYI Adira mendedahkan dia akan tetap mempertahankan hak penjagaan ketiga-tiga orang anaknya andai ditakdirkan untuk berpisah dengan suami Datuk Seri Adnan Abu.

Bagaimanapun, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 28, berkata, dia tidak akan sekali-kali memisahkan hubungan antara anak dan bapanya.

“Saya tak pernah tinggalkan anak saya walau satu malam pun jadi soal hak penjagaan anak itu mestilah pada saya.

“Saya beranak bukan untuk bagi orang, apa pun yang jadi saya akan pertahankan hak penjagaan anak itu. Lagipun mereka semua pun masih menyusu dengan saya lagi.

“Bagaimanapun saya memang tiada niat untuk pisahkan anak dengan bapa mereka dan saya tak akan menghalang mereka dari berjumpa,” katanya kepada mStar.

Adira ditemui pada sidang media Semi Final Muzik-Muzik 34 (SFMM34) di Theaterette, Balai Berita NSTP, Bangsar, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, Adira enggan mengulas lanjut ketika disoal sekiranya dia masih tinggal sebumbung dengan suaminya.

Kata Adira, dia masih menghormati Adnan yang masih sah sebagai suaminya.

“Mengenai hal itu saya tak boleh nak cakap banyak kerana apa-apa sahaja boleh berlaku dan benda pun masih dalam proses.

“Yang pasti, saya tak pernah menghalang dia dari berjumpa anak-anak. Lagipun dia masih lagi bergelar suami jadi tak semestinya bila saya nak bercerai, saya tak hormat dia.

“Apapun saya tetap dengan pendirian dan saya tak mahu bergaduh. Sebab itu saya tidak memilih untuk membuka apa-apa cerita. Harap semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Adira sebelum ini memfailkan permohonan cerai melalui kaedah hakam dan prosiding pelantikan pegawai mahkamah itu sepatutnya berlangsung pada 9 Oktober lalu namun ditangguhkan.

Adira berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata.

Dalam perkembangan lain, Adira tercalon menerusi lagu Pujaan Hati yang akan dipertandingkan di SFMM34.

Kata Adira, dia sudah lama menantikan untuk tercalon semula selain mengakui gementar untuk kembali beraksi di pentas SFMM34.

“Saya sebenarnya tertunggu-tunggu bila lagi dapat masuk semula ke semi final Muzik-Muzik.

“Apa yang saya harapkan adalah saya taknak sakit saja. Saya nak betul-betul jaga kesihatan.

“Lagi-lagi banyak lagu yang hebat-hebat dan saya rasakan ia sangat sengit untuk saya,” katanya.

Sumber Mstar

Apa komen anda?