PENYANYI Naqiu Boboy terkejut apabila didakwa pernah berkahwin dengan dua orang wanita namun sudah menceraikan isteri pertama.
Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 33, menafikan perkara itu dan menegaskan wanita yang dikenali sebagai Hani merupakan satu-satu teman hidupnya.
“Saya tak tahu dari mana cerita itu datang tapi dua isteri ya? Usia anak-anak saya pun rapat, bila masa pula saya nak kahwin lain.
“Benda ini sangat kelakar kerana isteri sekarang ini adalah satu-satunya teman hidup saya.
“Saya sangat sayang keluarga, saya sangat sayang isteri dan anak-anak,” katanya kepada mStar.
Naqiu ditemui ketika sidang media Konsert Gegar Vaganza musim keenam (GV6) minggu ketujuh di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, pada Ahad.
Penyanyi itu diminta mengulas desas-desus mengenai kehidupan rumah tangganya yang diperkatakan di sebuah ruang forum gosip.
Menerusi ruangan forum tersebut, sebuah akaun mendedahkan seorang peserta GV6 pernah mempunyai dua orang isteri.
Namun peserta itu telah menceraikan isteri pertamanya selepas menerima hasutan daripada isteri kedua.
Biarpun tidak menyebut nama peserta tersebut namun melihat di komen-komen netizen mengaitkan individu tersebut adalah Naqiu.
Dalam pada itu, Naqiu berterima kasih kepada pihak yang cuba menyebarkan sesuatu yang tidak benar mengenai dirinya.
Tambahnya, dia hanya mengambil perkara itu dari sudut positif dan berpendapat ramai yang ingin memberi perhatian terhadap kehidupan peribadinya.
“Saya terbuka dengan apa-apa pun dan bermakna orang beri perhatian kepada saya sehingga cerita sebegini pun dikeluarkan.
“Dari sudut positif, orang sentiasa nak mencari saya dan kalau dari sudut negatif itu orang nak jatuhkan saya.
“Saya anggap mungkin mereka mahu korek kehidupan peribadi saya selepas 12 tahun menyepi.
“Terima kasih pada yang ambil berat fasal saya dan saya doakan anda bahagia,” ujarnya.
Naqiu dan Hani mempunyai dua anak perempuan dan tiga lelaki berusia dari tujuh hingga setahun.
Sumber Mstar