Bermulanya cinta daripada ucapan tahniah

“SAYA bagaikan bermimpi apabila memperisterikan wanita Itali,” kata Mohamad Khalies Hami Hamzah, 35, dari Kampung Kubang Tangga, ketika dihubungi, hari ini.

Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu selamat dinikahkan dengan Giovanna Khadija Wolswijk, 25, dari Itali dengan sekali lafaz oleh jurunikah, Datuk Ismail Ali di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud UMT pada 14 Februari lalu.

Perkahwinan itu disaksikan ahli keluarga Giovanna Khadija iaitu ibu, Hendrina Johanna Van Middelkoop, 62, dan bapa, Theodorus Wolswijk, 62.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Giovanna Khadija penuntut Sarjana di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT memeluk Islam selepas tersentuh setiap kali mendengar alunan al-Quran daripada pembesar suara masjid UMT pada 18 Jun tahun lalu.

Mohamad Khalies berkata, dia berkenalan dengan Giovanna Khadija melalui Instagram (IG) selepas gadis itu memeluk Islam dan mengambil masa selama empat bulan untuk mengenali hati budi masing-masing sebelum mengambil keputusan melamar isterinya itu.

“Saya sendiri pun tidak sangka, isteri menerima lamaran saya dan memilih tarikh berkahwin pada 14 Februari sempena tarikh hari pertama dia menjejak kaki ke negara ini pada tahun lalu.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Giovanna Khadija juga sekarang dalam proses mendalami ilmu agama bersama saya.

“Sejak daripada awal perkenalan kami di IG , saya membantu dia mendalami ajaran Islam termasuk membaca al-Quran,” katanya.

Doa berkata, isterinya itu kini sudah menghafal lebih 10 surah lazim selain sedang menghafal surah al-Mulk.

“Giovanna Khadija sekarang membaca Iqra lima serta dalam proses mengenal bacaan al-Quran selain sudah pandai menunaikan solat dengan sempurna.

“Ditakdirkan berkahwin dengan saudara baru ialah tanggungjawab yang besar dan ia sebagai amanah Allah kepada saya.

“Sebagai suami, saya akan pastikan isteri mendapat didikan agama yang sebaik mungkin selain kasih sayang sepenuhnya,” katanya.

Bercerita mengenai kisah awal perkenalan, Mohamad Khalies berkata, dia menghantar pesanan ringkas di IG hanya sekadar ingin mengucapkan tahniah kerana memeluk Islam.

“Saya tiada niat langsung untuk memikatnya atau berkenalan, hanya mengucapkan tahniah saja namun takdir Allah tiada siapa tahu dan mampu menghalangnya.

“Giovanna Khadija membalas pesanan ringkas saya sebelum kami menjadi kawan rapat dan berasa tertarik di antara satu sama lain seterusnya mencapai persetujuan untuk berkahwin,” katanya.

Sementara itu, Giovanna Khadija berkata, dia berasa selesa dan yakin dengan keikhlasan suaminya sehingga mendorongnya menerima lamaran itu.

“Pada mulanya saya juga berasa berbelah bahagi untuk berkahwin pada usia 25 tahun selain masih ingin melanjutkan pengajian ke bidang Doktor Falsafah (PhD).

“Bagaimanapun selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan suami, hati saya tersentuh.

“Paling penting suami seorang yang kuat pegangan agama seterusnya diyakini mampu membimbing saya mendalami Islam dengan baik,” katanya.

Menurutnya, dia bercadang untuk menetap bersama suaminya di negeri ini sehingga menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD di Universiti Libre De Bruxelles, Belgium.

“Walaupun sudah berkahwin, saya tetap akan mencapai cita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD dan bersyukur kerana suami memahami dan merestuinya,” katanya yang menggemari nasi lemak.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: HM

Apa komen anda?

Be the first to comment on "Bermulanya cinta daripada ucapan tahniah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*