Anak yang tertukar, Mufti Kelantan bagitahu apa yang wajib mereka lakukan

Kuala Lumpur: Kesilapan tertukar bayi dengan keluarga lain sehingga seseorang individu dibin atau dibintikan kepada bapa angkat, dari segi hukum agama wajib ditukar kepada bin atau binti bapa kandung supaya tidak menimbulkan isu berbangkit, terutama berkaitan pembahagian pusaka.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ini kerana anak sebenar itu mempunyai hak untuk mendapatkan sumber pusaka yang ditinggalkan oleh bapa kandungnya yang sudah meninggal dunia.

“Memang (wajib) seseorang itu dibin atau dibintikan kepada bapa sebenar, tidak boleh dibinti atau bin kepada bapa angkat, haram kalau dengan sengaja. Dalam kes ini ia ‘tersilap’, jadi apabila tersilap, insya-Allah Tuhan ampunkan.

“Tetapi dari segi pengurusan (Jabatan Pendaftaran Negara), terserahlah…kalau undang-undang kata tidak boleh tukar sebab membabitkan sijil misalnya, tidak mengapa, tetapi perlu ada satu catatan bahawa ini adalah anak angkat.

“Kalau tidak nanti dia boleh buat tuntutan di mahkamah dan berhak mendapat tuntutan pusaka. Sekarang tidak mengapa kerana damai (tiada perbalahan),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Mohamad Shukri berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama semalam berkenaan dua keluarga terpaksa mengharungi kisah tragis selepas tiga bayi perempuan termasuk sepasang kembar yang dilahirkan 20 tahun lepas tertukar dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Kejadian itu hanya disedari tahun lepas selepas ketiga-tiga mangsa, Adryani Iwani, 20, ‘kembarnya’ Adryana Irwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada September tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, tidak menjadi kesalahan untuk anak yang tertukar itu terus tinggal bersama keluarga yang memeliharanya selama ini kerana dia dianggap anak sebenar kerana telah menyusu daripada ibu keluarga berkenaan.

Sehubungan itu, dari aspek hukum aurat adik-beradik susuan adalah sama dengan hukum aurat adik-beradik seibu sebapa, katanya.

Mengenai wali dalam pernikahan pula, merujuk kepada kes ini yang kedua-duanya sudah kehilangan bapa kandung, Mohamad Shukri menjelaskan pengganti wali yang terdekat ialah abang atau adik-beradik lelaki kandung.

“Meskipun (Adryana Iwani) sudah tinggal bersama keluarga angkat, wali pernikahan itu mesti ikut binti bapa yang sebenar, wali asal.

“Andai kata sudah nikah berwalikan bapa angkat atau adik-beradik angkat, tidak jatuh hukum zina, tapi dia mesti angkat lafaz nikah baharu dengan wali asal selepas diketahui hal sebenar,” katanya.

Bagaimanapun dalam kes ini, kesemua yang terbabit masih belum mendirikan rumah tangga.

Berkenaan ujian DNA bagi membuktikan tali kekeluargaan seseorang pula, Mohamad Shukri berkata ia boleh diterima pakai sebagai satu daripada mekanisme untuk menentukan nasab (anak kepada bapa).

Sementara itu, pakar genetik manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Thilakavathy Karuppiah berkata seseorang itu akan mewarisi 50 peratus daripada DNA ibu dan 50 peratus DNA bapa.

“Malah, setiap individu pula mempunyai profil (corak) DNA yang berbeza, kecuali kembar seiras,” katanya.

Dr Thilakavathy berkata, keputusan ujian DNA yang tidak boleh dipertikaikan adalah lebih kurang antara 96 peratus hingga 99.99 peratus namun, sebarang ujian DNA, ada kebarangkalian yang kecil akan memberi keputusan yang boleh dipertikaikan.

“Keputusan yang boleh dipertikaikan bukan bermaksud keputusan negatif. Semakin tinggi peratusan, semakin besar kemungkinan individu-individu yang diuji itu mempunyai tali persaudaraan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan akan berhubung dengan pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

‘Ayah jatuh s4kit apabila tahu saya bukan anak kandungnya’

Kuala Lumpur: Kesilapan meletakkan tanda nama ketika dilahirkan 20 tahun lepas, dipercayai akibat kecuaian kakitangan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan sehingga menyebabkan Noratirah Husin ‘tertukar’ ibu bapa, meninggalkan kesan mendalam kepada wanita itu.

Tambahan lagi, ‘ayah’ yang membelanya selama ini, Husin Omar meninggal dunia pada usia 64 tahun akibat sakit jantung pada November tahun lalu, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui pada September 2019 yang mengesahkan dia bukan anak kandung lelaki itu.

Bagi Noratirah, ujian yang terpaksa ditanggung oleh ‘ayahnya’ itu amat berat dan kesedihan yang dialami bertimpa-timpa kerana ia terjadi tidak sampai dua tahun selepas pemergian ‘ibunya’ Rahmah Isa, yang meninggal dunia pada 2018 akibat kencing manis serta dua lagi saudaranya dalam tempoh itu.

“Saya sudah boleh menduga keputusan DNA itu kerana Adryani Iwani mempunyai banyak persamaan dengan saya. Sebaik ayah mengetahui tentang perkara itu, arwah mula berubah dan lebih banyak berdiam diri serta sering kali termenung.

“Pada sekitar September tahun lepas ketika di rumah, saya menerima panggilan telefon daripada mama (ibu kandung Siti Aminah Ismail) yang memaklumkan hal keputusan ini (DNA), jadi saya buka pembesar suara telefon supaya adik-beradik lain dan arwah ayah (Husin) pun dapat dengar apa yang mama ingin sampaikan,” katanya kepada Bernama.

Katanya, selepas dimaklumkan keputusan itu, arwah ayah terus menangis dan secara tiba-tiba dia mengadu sakit dada sambil menzahirkan rasa bimbang hendak melepaskannya memandangkan dia adalah anak bongsu daripada 12 beradik yang tidak pernah berpisah dengan keluarga.

Noratirah berkata, arwah ayahnya turut meluahkan perasaan terkilan kerana dia tidak dapat berjumpa dengan bapa kandungnya Ibeni Yanin Mohd Salleh yang meninggal dunia lebih awal (2009) dan begitu juga dengan Adryana Iwani yang tidak dapat berjumpa dengan ibu kandungnya Rahmah Isa (meninggal dunia 2018).

Noratirah yang sedang mengikuti pengajian Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Poly-Tech Mara Cawangan Kota Bharu berkata, dia kini tinggal bersama ibu kandungnya selepas ‘ayahnya’ (Husin) meninggal dunia ditambah lagi adik-beradik lain sudah berkeluarga.

“Walaupun saya telah tinggal dengan mama, tapi kami adik-beradik sebelah ayah (Husin) tetap berhubung, kalau ada masa hujung minggu akan berkumpul di rumah ayah, tapi disebabkan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan kini, kami bertanya khabar antara satu sama lain melalui telefon sahaja,” katanya.

Adryani Iwani Ibeni Yanin pula menceritakan ibunya, Siti Aminah terduduk dan hanya mampu menangis apabila mengetahui bahawa Adryana Iwani tertukar dan bukan anak kandungnya.

Menurut Adryani Iwani, sebaik ibunya menerima keputusan DNA berhubung kedudukan ‘kembarnya’ itu pada September, perasaan ibunya tidak tenteram kerana bimbang perkara itu akan mengganggu psikologi ‘anaknya’ itu.

“Selepas terima keputusan, mama terkejut dan panggil saya berjumpa di bilik untuk mengelakkan Ana (panggilan untuk Adryana Iwani) tahu. Mama bagi tau, betullah Ana bukan anak mama dalam keadaan menangis. Dia enggan percaya dengan perkara itu kerana terlalu menyayanginya.

“Ketika itu, saya hanya mampu memujuk mama kerana risau Ana mendengarnya dan mama meminta saya supaya merahsiakan perkara itu daripadanya kerana tidak mahu dia berkecil hati,” katanya.

Sementara itu, Adryana Iwani yang tertukar dalam kejadian itu menzahirkan perasaan sedih kerana hanya sempat mengenali ayah kandungnya (Husin) itu kira-kira dua bulan sebelum meninggal dunia.

“Sudah pasti saya sedih, tahu-tahu kita ada keluarga lain selepas 19 tahun terpisah, lagi sedih saya tak pernah jumpa dan mendapat kebahagian daripada ibu kandung sendiri. Disebabkan salah orang lain, kami yang menanggung derita,” luahnya yang mengakui gred purata nilai kumulatif (CGPA) pengajiannya turut terjejas akibat kejadian itu.

Ditanya bagaimana dia berdepan situasi getir itu, mahasiswa Pentadbiran Korporat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, dia tidak mahu melihat ‘ibunya’ susah hati mengenangkan dirinya sekiranya melihat dia asyik menangis memikir perkara yang sudah terjadi.

Mengenai perkenalan dengan arwah ayahnya dalam masa yang singkat, Adryana Iwani berkata, dia sendiri dapat merasai ‘aura’ bapa kandungnya selepas kali pertama berjumpa.

“Pada kali pertama berjumpa, perasaan saya itu bercampur baur, seronok pun ada dapat jumpa ayah kandung, tapi sedih pun ada sebab takut dia tidak boleh terima baik buruk saya kerana selama ini Noratirah antara anak kesayangannya.

“Tapi saya bersyukur kerana adik-beradik lain layan saya macam adik sendiri dan keluarga pun semakin bertambah besar,” katanya yang sempat menerima cincin daripada ayahnya dan meninggalkan pesan untuk terus hormat kepada keluarga yang membesarkannya terutama ‘ibunya’, Siti Aminah.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber : Trendingsangat.pw

Apa komen anda?

Be the first to comment on "Anak yang tertukar, Mufti Kelantan bagitahu apa yang wajib mereka lakukan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*