Tambah nilai Touch ‘n Go bakal dihapuskan sepenuhnya

Kemudahan tambah nilai Touch ‘n Go tidak dinafikan lagi memang memberi banyak kemudahan kepada pengguna yang disediakan sekian lama pada plaza tol, membantu pengguna lebuhraya yang kekurangan baki. Walaupun memudahkan pengguna, ia juga memberi kesan kepada kelancaran lalu lintas.

Bagi menyelesaikan perkara tersebut, PLUS Malaysia sudah menjalankan langkah menghentikan lorong tambah nilai sejak 1 Ogos 2019 yang lalu di wilayah Tengah (laluan Seremban sehingga Ipoh Selatan) dan melalui polisi tersebut, syarikat pengendali lebuhraya itu menyatakan kesesakan dapat dikurangkan sehingga 48.2% iaitu daripada 42,500 kenderaan kepada 22,000 kenderaan berdasarkan statistik yang direkodkan oleh PLUS.

Merujuk kepada hasil itu, langkah penghentian lorong tambah nilai terbabit akan diluaskan lagi pelaksanannya ke wilayah Utara dan Selatan dalam masa terdekat.

Selain daripada kesesakan, penghentian perkhidmatan lorong tambah nilai juga adalah untuk memastikan keselamatan kakitangan perkhidmatan pelanggan  PLUS ekoran daripada beberapa kes kenderaan berat melanggar pondok tol.

PLUS turut menasihatkan pengguna lebuhraya supaya merancang perjalanan dan memastikan kad Touch ‘n Go sentiasa mempunyai baki yang cukup sebelum memasuki lebuhraya.

Sumber: PLUS

Apa komen anda?