Penganjuran Chabuk Crater Camp di Terap Fine Forest, Kulim, Kedah, baru-baru ini, nyata berbaloi dan memberi pengalaman baru kepada peserta.
Mereka meredah bukit, lumpur, laluan bersungai dan kawah pasir malah persaingan membabitkan peserta dalam dan luar negara.
Kru Chabuk Crater Camp, Amin Hamid berkata, acara berkenaan adalah kali keempat dianjurkan pihaknya.
“Peserta kami bukan saja orang tempatan malah ada yang sanggup datang dari Beijing, China, Brunei dan United Kingdom untuk menyertai acara ini,” katanya.
Menurutnya, acara itu memberi pendedahan mengenai sukan permotoran ekstrem dengan pelbagai cabaran disediakan di dalam hutan.
“Tahun ini trek perlumbaan adalah sejauh satu kilometer berbanding hanya 600 meter pada tahun lalu.
“Peserta yang bertanding dalam perlumbaan perlu mengharungi trek berbukit, sungai, kawah pasir dan berlumpur,” katanya.
Amin berkata, teknik yang digunakan peserta penting dalam menyahut cabaran perlumbaan berkenaan.
“Kuasa kuda atau jenis motosikal tidak menjamin bahawa sesebuah motosikal itu berjaya mengharungi cabaran.
“Apa yang penting teknik menunggang dan kawalan motosikal berkenaan,” katanya.
Sementara itu, peserta dari United Kingdom, Ross Padgett, 43, berkata, acara sebegini menarik minatnya untuk melancong ke negara ini.
“Ini tahun pertama saya menyertai acara ini dan pastinya saya akan menyertainya lagi pada tahun depan,” katanya.
Sumber Harian Metro