“ALHAMDULILLAH, UAI sudah semakin pulih, cuma dia ada mengadu mula mengalami rasa sakit kesan pembedahan itu,” kata kenalan rapat penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) yang ingin dikenali sebagai Man ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.
Man berkata, UAI semakin sihat, namun tidak mampu bercakap banyak kerana kesan luka pada bibirnya.
“Memang ramai menghubungi kami kerana ingin melawat UAI termasuk beberapa artis terkenal tanah air, namun UAI tidak bersedia untuk menerima tetamu dengan keadaannya ketika ini.
“Mengikut laporan kesihatan UAI yang diberikan pihak hospital, UAI tidak mengalami masalah lain, tekanan darah dan semuanya normal, jadi UAI berkemungkinan akan dibenarkan keluar tidak lama lagi,” katanya.
Man berkata, dia berharap orang ramai tidak mendesak untuk mengunjungi UAI kerana keadaan UAI sekarang tidak sesuai untuk dilawati.
“UAI tidak boleh banyak bercakap dan jika ada pelawat, kita bimbang sekiranya UAI tidak mampu melayan dengan baik.
“Kami sedia maklum pengikut dan penggemar UAI bimbang dengan keadaan UAI selepas terbabit di dalam kemalangan itu,” katanya.
Menurutnya, dia mewakili UAI dan ahli keluarga mengucapkan terima kasih di atas doa dan keprihatinan diberikan terhadap kesihatan UAI termasuk mengadakan solat hajat untuk penceramah itu.
“Teruskan berdoa untuk UAI supaya cepat sembuh dan dapat memberi kuliah seperti sedia kala.
“Kami yakin ramai pengikut dan peminatnya rindu untuk mendengar ceramah UAI kerana kami merasai perkara sama,” katanya.
Isnin lalu, portal berita Harian Metro melaporkan UAI patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara, Kuala Terengganu pada 6.30 petang.
Kejadian dikatakan berlaku ketika UAI menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Sumber Hmetro