Setelah hebat mendapat kecaman, Raja Ilya tampil beri penjelasan kenapa lakukan aksi cuci rambut di bilik mandi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Raja Ilya, 34, tidak melatah apabila video menunjukkan dirinya mencuci rambut di bilik mandi dengan berbaju tidur mendapat kecaman hebat warganet.

Rakaman berdurasi satu minit 20 saat yang dikongsi menerusi IG TV itu memperlihatkan aktres terbabit yang mengenakan pakaian mendedahkan sebahagian tubuhnya mencuci rambut di bawah pancuran air.

“Video itu sebenarnya bagi mempromosikan produk rambut. Kalau mandi, semestinya orang tidak mengenakan pakaian.

“Sejak awal lagi, saya dan suami sedar video terbabit akan mendapat perhatian serta kecaman. Saya sendiri sudah bersedia menerima sebarang komen yang akan dilontarkan.

“Namun, video itu bertujuan menunjukkan keberkesanan produk terbabit, hingga rambut saya tidak lagi gugur,” katanya.

Raja Ilya mengakui ada menerima komen bertanyakan mengenai kewajarannya merakamkan video sedang mandi, namun dia enggan memberikan sebarang reaksi kerana tujuannya adalah bagi mempromosikan produk.

“Saya banyak didekati pihak tertentu untuk mempromosikan produk mereka di Instagram. Saya memerlukan idea di luar kotak untuk berbuat begitu. Kalau sekadar bergaya dengan memegang produk, ia terlalu biasa.

“Apabila pelanggan mahu video promosi dikongsi setiap minggu, saya sendiri perlu memikirkan sesuatu di luar kebiasaan.

“Saya tahu, pelanggan juga perlu mencapai sasaran mereka. Tiada gunanya mereka membayar beribu-ribu ringgit kepada saya tanpa mendapatkan pulangan daripada ulasan dan promosi dilakukan,” katanya yang akan muncul dengan filem KL Vampires pada 14 November ini.

Pelakon itu juga berkata, dia dan suami, Trent Garret, 38, sering bertukar-tukar idea dalam perkara itu.

“Kadang-kadang, kami mengembara ke merata tempat untuk mencari ilham. Kami mahu mempersembahkan sesuatu yang berlainan,” katanya.

Gara-gara video itu juga, ada segelintir warganet mengaitkannya dengan tindakan pelakon terbabit berkahwin dengan lelaki mat salih, namun pemilik nama penuh Raja Ramilah Begum Raja Mohammad ini mempunyai pandangan sendiri.

“Pandangan negatif sebegitu sudah biasa dilontarkan. Rasanya, masyarakat di negara suami saya (Australia) lebih beradab. Bagi saya, video itu jadi isu kerana ia dilihat seksi, yang menurut saya terlalu subjektif.

“Ada sesetengah wanita yang mengenakan tudung pun masih mempunyai aura seksi. Dalam kes saya pula, ada yang mengatakan mandi dengan mengenakan baju pun tetap seksi.

“Saya tak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Apa pun, saya tidak menyekat komen diberikan, walaupun ia berbaur negatif,” katanya.

Sumber Bharian

Apa komen anda?