Remaja 13 tahun tidur di lorong, tidak bersekolah namun pandai sebut `English Word` rupanya disini dia belajar

PASTINYA kita rasa hiba setiap kali melihat kanak-kanak tanpa mengetahui asal usulnya berkeliaran di kaki lima, atau lebih menyedihkan hanya tidur di lorong.

Begitulah yang dirasai seorang wanita ketika melihat seorang kanak-kanak dengan muka pucat lesu, sambil memegang perut tanda kelaparan sebelum dibawa untuk makan.

Pengalaman wanita yang baik hati itu dicatat oleh seorang guru yang sering terlibat dengan program kebajikan, di halaman Facebooknya sehingga dikongsi lebih 15,000 kali.

Di sebuah kedai makan, guru berkenaan, Mohd Fadli Salleh berpeluang untuk bertemu sendiri dengan kanak-kanak itu melalui bantuan rakan-rakan seperjuangan.

Pada awalnya, budak lelaki itu secara baik menolak ajaknya untuk makan, tetapi akur selepas dipujuk membuat pesanan makanan.

“Sebelum makan dia doa dulu, bagus budaknya. Tu dia, kata dah kenyang. Sepinggan penuh kejap je habis. Allahu, nampak sangat dia sebenarnya lapar,” ujar Mohd Fadli.

Berkongsi latar belakang, kanak-kanak itu sebenarnya adalah remaja berusia 13 tahun yang kematian ibunya akibat kemalangan jalan raya semasa umurnya lapan tahun.

Mohd Fadli berkata, remaja itu kemudian tinggal bersama bapa tirinya di Ulu Tiram, Johor sebelum mereka berpindah ke Kuala Lumpur ketika usianya sembilan tahun.

Jelasnya, sejak itu remaja berkenaan tidak pernah bersekolah tetapi kelihatan bijak dan mempunyai potensi sekiranya diberi peluang untuk belajar di sekolah.

“Awak tahu baca? Dia angguk. Cuba baca tulisan di baju cikgu. Lancar dia baca. Bila aku suruh dia sebut masa dengan menunjukkan jam jarum aku, pun boleh dia sebut dengan tepat. Tambah tolak asas tu lancar je dia menjawab.

“Awak belajar kat mana? Saya homeschooling je, dia jawab. Siapa ajar? Saya belajar sendiri katanya. Tu dia, homeschooling pun pandai sebut… English kau!

“Budak ni ada potensi, agak bijak budaknya. Kalau masuk sekolah boleh pergi jauh kalau kena gaya,” ujar Mohd Fadli, sambil menambah berdasarkan siasatan teman-temannya, remaja itu mempunyai rekod yang baik – tidak pernah mencuri, tidak merokok dan tidak melepak dengan budak-budak nakal.

Khabarnya bapa tiri remaja itu berusia hampir 60 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan, dan mereka hanya tinggal berdua di Kuala Lumpur.

“Ayah tirinya tidak kisah dia balik atau tidak. Kadang-kadang dua hingga tiga hari sekali baru dia balik rumah. Terabai budak ni.

“Terus aku pesan kat dia, lapar je datang kedai ini. Order apa awak nak makan. Datang setiap hari pun tak apa, nanti cikgu bayarkan semua,” kata Mohd Fadli yang mahu berhubung dengan bapa tiri remaja itu untuk membincangkan urusan persekolahannya.

Berkongsi pengalaman sendiri, Mohd Fadli pernah melalui saat di mana dia langsung tidak mempunyai wang dan hanya makan nasi hanya sekali untuk tiga hari.

“Minum air paip, makan roti dah tamat tempoh hanya untuk menghilangkan kelaparan suatu ketika dulu. Aku tahu peritnya berlapar.

“Aku tahu betapa malu dan hinanya rasa diri bila tiada satu sen pun dalam kocek. Dan aku takkan biarkan sesiapa sahaja dalam pengetahuan dan radar aku untuk melalui saat sebegitu selagi aku mampu membantu. Itu prinsip aku sejak dulu.

“Aku tidak mampu nak bantu semua orang. Namun aku cuba sedaya upaya untuk membantu sesiapa sahaja di sekeliling aku semampu aku,” ujar Mohd Fadli.

Sumber Mstar

Apa komen anda?