Intan Najuwa padam foto dan ‘unfollow’ tunang? Ini respon pedas Zul Yahya

PELAKON senior Zul Yahya meluahkan rasa kecewa terhadap beberapa keping foto mesra aksi mandi laut aktres Intan Najuwa dengan pasangan gandingannya, Zul Ariffin yang tersebar di laman sosial sejak Khamis.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya, 46, berkata, golongan selebriti seharusnya mencari rezeki tanpa mengabaikan hak sebagai seorang yang beragama Islam.

“Mencari rezeki jangan diabaikan hak-hak agama. Dulu aku pun pernah melalui kesilapan-kesilapan ini tapi sampai bila kita nak lakukannya sedangkan hari ini ramai manusia berlumba-lumba untuk mendapat kebaikan dan kemanisan agama.

“Kepada adik-adik yang masih diberi peluang untuk berkarya di medan seni, bawalah seni itu dengan adab dan tontonkan kepada mereka bahawa seni itu lebih indah dengan adab.

“Seni itu juga boleh menjadi asbab atau isyarat manusia datang kepada agama,” tulisnya.

Zul meluahkan rasa kesalnya itu menerusi posting yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Selasa.

Dalam pada itu, Zul turut meminta rakan-rakan artis serta penggiat industri seni untuk sentiasa berhati-hati dalam sebarang perlakuan.

Menurutnya, perkara-perkara yang tidak senonoh mahupun memalukan harus dielakkan kerana dengan penggunaan media sosial yang berleluasa.

“Sedarlah kita hari ini semakin ramai manusia yang inginkan seni yang penuh dengan adab dan sunnah.

“Pesanan untuk semua yang terlibat di dalam bidang seni hiburan tanah air baik di depan layar di belakang ataupun penggemar, hati-hati kerana hari ini semua perkara aib mudah tersebar.

“Berkasih sayanglah hanya kerana Allah. Tingkatkan sunnah bawa kejayaan dunia dan akhirat,” ujarnya.

Terdahulu, beberapa foto aksi panas pelakon Intan Najuwa dengan Zul Ariffin mandi laut tersebar di laman sosial menerima kecaman netizen di media sosial.

Rata-rata netizen beranggapan aksi dukung dan mudah dipegang oleh pelakon tidak sesuai bagi wanita yang sudah bertunang.

Selain itu, ada juga yang menyangka ia untuk tujuan meraih rating dan merupakan salah satu babak dalam drama lakonan mereka, Setelah Ku Dimiliki yang kini bersiaran di slot Akasia TV3.

Bagaimanapun, pengarah terkenal, Osman Ali menafikan babak mesra itu berkaitan dengan adegan dalam drama berkenaan.

Intan padam foto, unfollow tunang

Sementara itu, hasil semakan mStar di laman Instagram Intan Najuwa mendapati aktres itu telah memadamkan beberapa keping foto bersama tunangnya, Razrul Anwar Rusli.

Hanya sebuah posting bersama Razrul yang ditinggalkan dengan kapsyen memberitahu aktres itu menyayangi dirinya.

“Jaga diri ketika saya tiada. Benci bila terpaksa berjauhan dengan kamu. Tetapi saya faham, kita sama-sama bekerja keras untuk mencapai matlamat hidup kita. Sayang awak selalu,” tulisnya.

Hasil pemerhatian mStar juga mendapati Intan dan tunangnya itu tidak lagi mengikuti laman Instagram masing-masing.

Usaha mStar untuk mendapatkan kenyataan Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 22, mengenai foto tersebut juga sehingga kini masih tidak berjaya.

Sumber Mstar

Apa komen anda?