Selepas 3 hari pencarian, terbongkar kisah sebenar remaja lorong ‘homeschooling’

KISAH tular remaja berusia 13 tahun yang tidur di lorong dan dikatakan kematian ibunya sejak umurnya lapan tahun telah mendapat perhatian ramai.

Walaupun tidak bersekolah, seorang guru yang menemuinya memberitahu remaja itu kelihatan bijak dan mempunyai potensi sekiranya diberi peluang untuk belajar di sekolah.

“Awak belajar kat mana? Saya homeschooling je, dia jawab. Siapa ajar? Saya belajar sendiri katanya. Tu dia, homeschooling pun pandai sebut… English kau!

“Budak ni ada potensi, agak bijak budaknya. Kalau masuk sekolah boleh pergi jauh kalau kena gaya,” ujar Mohd Fadli Salleh menerusi perkongsiannya di halaman Facebook menjadi tular.

Difahamkan, remaja berkenaan yang tinggal dengan bapa tirinya di Kuala Lumpur, kadang-kadang tidak pulang ke rumah antara dua hingga tiga hari.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, Mohd Fadli pada Selasa berkongsi perkembangan terkini mengenai remaja berkenaan dan pendedahannya amat mengejutkan.

“Info terbaharu tentang anak ini. Plot twist dah. Secara asasnya, dia masih ada ibu kandung dan ahli keluarga. Cuma lari dari rumah,” menurut catatannya di laman sosial.

Mohd Fadli bagaimanapun enggan bercerita lanjut mengenai remaja tersebut kerana mahu menjaga hati banyak pihak, maka banyak perkara tidak dapat dikongsikan kepada umum.

Namun jelasnya, perkongsiannya yang menjadi tular itu menyebabkan ahli keluarga remaja tersebut dapat mengesannya semula.

“Alhamdulillah. Tiga hari pencarian, petang tadi dia datang mencari aku bersama ibunya. Kes ditutup,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadli mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) yang turut turun padang mencari remaja tersebut dan memberikan bantuan sewajarnya.

“Buat kawan-kawan dan brothers aku yang masih dalam misi mencari menerjah di lorong-lorong, boleh berhenti dah pencarian ya. Dia dalam jagaan yang baik sekarang,” katanya.

Menerusi laporan terdahulu, remaja berkenaan dikatakan berasal dari Ulu Tiram, Johor dan berpindah ke Kuala Lumpur bersama bapa tirinya, selepas ibunya didakwa meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Khabarnya bapa tiri remaja itu berusia hampir 60 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan, dan mereka hanya tinggal berdua di Kuala Lumpur.

Kisah remaja itu yang kelaparan semasa tidur di lorong juga mengimbas pengalaman Mohd Fadli yang pernah tidak mempunyai wang dan hanya makan nasi sekali dalam tiga hari.

“Minum air paip, makan roti dah tamat tempoh hanya untuk menghilangkan kelaparan suatu ketika dulu. Aku tahu peritnya berlapar.

“Aku tahu betapa malu dan hinanya rasa diri bila tiada satu sen pun dalam kocek,” katanya.

Sumber Mstar

Apa komen anda?