KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat, bakal memotong pendek rambutnya, minggu hadapan, demi menjayakan watak dalam drama terbaru.
Ayda berkata, dia mengorbankan rambutnya atas kerelaan sendiri, bukan kerana menerima bayaran yang tinggi.
Ujarnya lagi, bidang lakonan memberikannya kepuasan yang berbeza, berbanding persembahan di pentas nyanyian.
“Tidak lama lagi, saya bakal memulakan penggambaran sebuah drama bersama Remy Ishak. Namun, saya diminta memotong rambut demi watak terbabit. Ia bakal menjadi pengalaman pertama saya memotong rambut pendek. Jadi, tidak sabar juga rasanya hendak melihat wajah dengan gaya sebegitu.
“Saya juga berbuat demikian bukan kerana soal bayaran, sebaliknya apa yang penting adalah kepuasan diperoleh daripada pengalaman itu. Malah, watak yang berbeza pastinya membantu mencantikkan lagi portfolio kerjaya dalam bidang lakonan.
“Setiap tahun, saya merencana untuk menerima sekurang-kurangnya sebuah tawaran drama bagi mengimbangi bidang nyanyian dan lakonan. Kedua-duanya adalah minat saya sejak dahulu,” katanya kepada BH Online.
Penyanyi yang popular dengan lagu Temberang itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media festival muzik Stereofest, di sini.
Festival muzik Melayu yang bakal berlangsung selama dua hari di Singapura, Februari tahun depan itu akan menampilkan 20 artis popular dari Malaysia, Indonesia dan Kota Singa.
“Pada festival itu, saya bakal menyanyikan empat lagu menerusi slot selama 45 minit. Saya bertuah apabila dapat berkongsi pentas dengan ramai artis popular lain seperti Judika, New Boyz dan Jaz,” kata Ayda.
Maklumat lanjut mengenai acara terbabit boleh didapati dengan melayari www.stereofest.asia.
Sumber hmetro