Nasir Bilal Khan Nak Termuntah Bila Dengar Tajuk Drama Yang Ditawarkan

PELAKON, Nasir Bilal Khan, 59, menolak 20 tawaran lakonan kerana kecewa penghasilan drama pada masa ini tiada hala tuju.

Nasir berkata, semua tawaran itu ditolaknya sejak beberapa tahun lalu hingga tahun ini yang disifatkannya tidak berkualiti.

“Secara jujurnya, apabila diberitahu tajuk drama saya rasa seperti nak termuntah. Masakan tidak, drama sekarang hanya berkisar cinta cintun,” katanya sebagai panel pada Kongres Sangga Artis Veteran di Pawagam Mini P Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, hari ini.

Menurutnya, penghasilan sesebuah karya sepatutnya mendidik masyarakat dan membentuk negara.

“Tugas artis mengajar orang ramai dan menghasilkan moral yang baik. Artis ada tanggungjawab, anak seni sepatutnya memandang sesuatu di sebalik sesuatu.

“Hasil seni juga perlu memandang 100 tahun ke hadapan bukannya seperti sekarang,” katanya.

Pernah suatu ketika dahulu, dia mahu bersara sebagai pelakon namun dipujuk semula membintangi telefilem Tanah Kubur.

Nasir menyarankan, jika stesen televisyen masih mahu menghasilkan drama mengarut, pihak produksi perlu bertindak sebagai ‘tentera’ dengan menentang ideologi terbabit.

Ketika membincangkan diskusi Penghargaan dan Penghormatan Kian Pudar, dia mencadangkan banyak kategori dipertandingkan bagi memberi peluang kepada artis senior untuk memenangi anugerah.

Nasir juga mencadangkan artis berpengalaman diberi ruang menjayakan program anjuran jabatan kerajaan, selain Kerajaan Persekutuan atau negeri memberikan darjah kebesaran berserta elaun khas untuk mereka.

“Dalam keadaan sekarang, ada dalam kalangan artis lama bergelar Datuk masih meminta-minta di usia tua mereka,” katanya.

Sumber : HMETRO ONLINE

Apa komen anda?