Gadis ini tak kisah ditegur, tapi jangan sampai menghina disebabkan tindik hidung terus disamakan dengan lembu

“HANYA disebabkan saya nose piercing, kamu semua tergamak samakan saya dengan binatang seperti ‘lembu’! Sempurna sangatkah kamu?” luah seorang wanita susulan memuatnaik sekeping gambar dia bertindik di hidung.

Inilah yang menimpa ke atas Nur Nabilla Abdul Rahman apabila dikecam ramai selepas memuat naik dua foto bagi berkongsi perubahan dirinya.

Posting tersebut dimuat naik Nabilla pada Selasa dengan kapsyen, ‘Padan muka yang reject aku masa sekolah rendah dulu’.

Bagaimanapun, posting tersebut tular di laman Twitter hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.

Berkongsi dengan mStar, Nabilla berkata, dia tidak menyangka akan timbul isu seperti ini kerana niatnya hanya ingin berkongsi beberapa foto di Twitter.

“Sebenarnya saya tweet biasa saja, lepas tengok ada seorang perempuan ni dia post gambar dia yang dahulu dengan sekarang. Samalah macam saya, saya post sekadar suka-suka untuk berkongsi perubahan saya dahulu dan sekarang.

“Tiba-tiba ramai yang kecam sebab saya nose piercing. Netizen tak nampak benda lain, mereka hanya nampak itu sebagai kesalahan dan terus samakan saya dengan lembu,” luahnya.

Jelas wanita berusia 30 tahun ini, oleh kerana terlalu marahkan beberapa individu yang menyamakan dirinya dengan haiwan, dia kemudian memuat naik foto mereka di Twitter miliknya.

Kesal dengan tindakan lelaki berkenaan, Nabilla sekali lagi meluahkan rasa terbuku dalam dirinya menerusi bebenang (thread) pada posting tersebut.

Walaupun begitu, wanita ini bersyukur kerana masih ada individu yang memberi respons positif dan kata-kata semangat untuknya.

Malah rata-rata netizen kembali mengecam tindakan individu terbabit serta meluahkan rasa simpati ke atasnya.

“Sebab saya terlalu sakit hati dan marah, saya retweet kata-kata penghinaan mereka. Mereka kata, ‘orang tu kira untung reject. Takut dia kahwin dengan lembu saja’ dan ‘ini orang atau lembu?’

“Syukur juga, rupa-rupanya masih ada yang sokong dan bagi respons yang positif pada saya. Tipulah tak marah kalau disamakan dengan lembu, rasa sangat kecewa dan kesal namun saya tidak nafikan masing-masing ada pendapat. Lagi pula kita tak boleh buat semua orang suka dengan cara kita,” katanya.

Merupakan anak bongsu daripada enam beradik, Nabilla berkata selepas sahaja individu terbabit dikecam, dia akhirnya memohon maaf menerusi pesanan mesej.

“Alhamdulillah, ada seorang yang DM saya minta maaf, dia cakap akaun dia kena hack. Tak tahulah betul ke tidak, tapi bagus juga sekurang-kurangnya dia tahu dia salah dan minta maaf. Yang lain langsung tidak, mungkin bagi mereka sudah terlalu sempurna…

“Orang boleh cakap apa yang mereka nak cakap. Saya tahu tak semua orang terutama Melayu boleh terima jika kita bertindik, saya faham. Tapi saya OK saja, boleh terima teguran orang macam, ‘bukalah tak payah pakai, tak elok’… Tapi kenapa sampai nak panggil saya lembu!” luahnya.

Jelas Nabilla yang kini sedang berjinak-jinak dengan perniagaan atas talian, dia masih boleh terima teguran atau nasihat orang ramai tetapi jangan sampai menghina.

“Selain itu, saya juga ada baca satu komen ini dia cakap ‘tindik hidung’ bagi wanita diharuskan asalkan ia tidak memudaratkan kerana ia sama seperti tindik telinga dan Nabi Muhammad pun tak pernah menghalangnya. Tapi itulah realitinya masyarakat kita, mereka tak boleh terima benda itu,” kata Nabilla.

Tambahnya lagi, ini bukan kali pertama dia diejek malah sebelum ini terdapat beberapa kenalannya pernah menyentuh dan menjadikan rupa fizikalnya sebagai bahan gurauan.

“Isu face shaming dan body shaming ini boleh dikatakan saya dah biasa kena. Ada yang kata saya gemuklah, berjerawatlah dan macam-macam sebab itu saya dah tak kisah. Tapi bila sampai tahap nak samakan saya dengan ‘lembu’ mestilah saya marah.

“Saya tahu saya tak layak untuk bagi nasihat, ya lah dengan tak bertudung, bertindik lagi… Tapi satu saja saya nak pesan kamu boleh kutuk atau ejek seseorang tu. Tapi perlu beringat, perkataan-perkataan kurang ajar macam itu tolong elakkan sebab benda ni boleh bagi tekanan pada individu itu.

“Ada yang sampai hilang keyakinan diri, kemurungan dan ada yang sampai rasa nak bunuh diri! Nak pula yang jenis tak kuat nak hadap,” luahnya dengan berharap agar masyarakat lebih peka dengan isu seperti ini.

Namun begitu, melalui semakan di laman web Islam Itu Indah, hukum menindik hidung dengan niat untuk dipersembahkan kepada suami adalah harus tetapi jika untuk dipamerkan di hadapan khalayak ramai, maka jelaslah hukumnya adalah haram!

Sumber Mstar

Apa komen anda?