Tempat parking kecoh, tiga orang mak keluarkan pistol

“WALAUPUN umur sudah meningkat, jangan buat diri kita rasa tua!”

Demikian pesan seorang suri rumah yang mana video dia bermain tembak-tembak bersama dua lagi rakannya tular di media sosial.

Menurut Katreina Mohamed, 43, dia dan Azieta Hamid, 48, serta Azean Marezawati, 42, sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Mengulas penularan video tersebut, dia yang mesra disapa Katreina mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai hal itu oleh anak gadisnya pada Ahad.

“Sebenarnya kami bertiga pergi ke majlis makan malam gala bertemakan James Bond. Mereka bagi pistol air percuma.

“Masa nak balik, dari dalam lif lagi kami main pistol sampailah ke tempat letak kereta. Dulu tak sempat main, masa anak kecil main pistol pun kita marah.

“Lepas tu anak rakam dan masukkan ke Twitter. Dia kata dah viral. Saya kata matilah aku, tak tahu pula akan viral,” ujarnya kepada mStar.

Kata Katriena lagi, dia dan dua sahabatnya yang diberi jolokan Charlie’s Angels Malaysia oleh netizen susulan video tular itu merupakan isteri kepada pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sepanjang bersahabat, banyak susah senang dilalui bersama sehingga hubungan mereka cukup akrab seperti darah daging sendiri.

“Yang seorang tu kenal dari sekolah rendah, seorang lagi tu kenal sebab kami bertiga sama-sama isteri pegawai Air Force.

“Suami saya masih bertugas dengan Air Force. Suami Zie (Azieta) sudah bersara dan suami Azean sudah meninggal dunia.

“Kami kalau ada masalah akan share sama-sama. Kami kutuk, cakap depan-depan dan tak simpan dalam hati.

“Kalau ada buat salah, tegur terus je. Tak adalah nak gaduh atau bermasam muka. Dalam kumpulan kami, saya dengan yang seorang lagi melatah. Kami saling menyakat,” ujarnya.

Menurut ibu kepada lapan cahaya mata itu, penting untuk setiap individu hidup dalam keadaan gembira dan penuh gelak tawa.

Walaupun usia sudah menjengah angka 40-an, dia masih aktif melakukan pelbagai aktiviti bersama dua lagi rakan baiknya itu.

“Jangan buat diri kita rasa tua. Kami pukul 9 pagi dah bising dalam grup WhatsApp.

“Kalau free kami keluar melepak, sarapan sama-sama. Harapan saya satu sahaja, agar kami bersahabat sampai ke syurga. Biarlah susah senang, menangis, gelak bersama-sama.

“Pernah ada kejadian tayar kereta saya pecah, mereka datang bukan nak tolong, tapi datang berborak sambil tunggu orang datang baiki, sambil lambai-lambai orang tepi jalan,” ujarnya mengimbas kejadian lucu itu.

Sehingga kini, video melibatkan tiga ibu itu menerima lebih 260,000 tontonan di Twitter.

Malah, ramai yang memuji keakraban mereka yang disifatkan ramai sebagai friendship goals.

Sumber MStar

Apa komen anda?