Mek Korea, Ryzal Selamat Disatukan Dengan Sekali Lafaz

CINTA antara Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim dan You Narae dari Korea Selatan disatukan di jinjang pelamin selepas pasangan itu selamat diijabkabulkan petang semalam.

Akad nikah itu berlangsung di Masjid Itaewon, Seoul kira-kira 4.30 petang (waktu Malaysia) dalam suasana majlis ringkas dan Nik Muhammad Ryzal ditemani adiknya, Nik Ayub, 23, yang juga sebagai saksi serta beberapa rakan terdekat.

Nik Muhammad Ryzal, 27, berkata, dengan hanya sekali lafaz, You Narae, 27, yang anggun berbusana pengantin warna putih sah bergelar isterinya.

“Majlis akad nikah agak ringkas tetapi apa yang menariknya, secara kebetulan ada satu rombongan pelancong dari Kelantan yang datang ke masjid berkenaan untuk solat.

“Kumpulan rombongan itu bertanyakan kepada saya adakah kisah kami berdua yang pernah mendapat liputan dalam media sebelum ini dan sebaik mengiyakan, mereka sangat teruja.

“Tanpa membuang masa mereka terus mengambil peluang merakamkan gambar kenangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Muhammad Ryzal berkata, insiden yang sama dialami apabila selesai majlis akad nikah dan mereka bertembung dengan banyak kumpulan pelancong dari beberapa negara ketika dalam perjalanan ke kedai makan berhampiran dengan masjid.

Menurutnya, pelancong teruja untuk merakam gambarnya bersama You Narae disebabkan mungkin isterinya mengenakan busana pengantin Melayu siap dengan bertudung dan imej itu sangat menarik perhatian.

“Saya pula hanya mengenakan sut biasa warna putih tapi isteri memakai baju pengantin yang kami tempah di Perak sekali dengan tudung yang dipakainya sendiri termasuk berdandan ringkas.

“Mungkin penampilan kami yang berbaju pengantin berjalan di tengah jalan menarik perhatian orang ramai terutama You Narae, wanita Korea tetapi mengenakan busana Melayu.

“Majlis persandingan akan diadakan pada 29 September ini di Seoul dan saya meminta warga Malaysia yang belajar atau bekerja di sini supaya hadir memeriahkan majlis kami.

“Majlis di Kelantan pula kalau tiada aral melintang, Insya-Allah akan berlangsung pada Februari tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, kisah cinta Nik Muhammad Ryzal yang berasal dari Taman Sari, Kota Bharu dan You Narae mendapat liputan media termasuk pengalaman wanita Korea itu yang pertama kali menyambut Aidilfitri lalu di Kelantan.

Nik Muhammad Ryzal berkata, isterinya agak teruja beberapa hari sebelum majlis ijab kabul dan merujuk kepadanya serta Imam Masjid Itaewon mengenai apa lagi persediaan yang perlu untuk dilakukan.

“Alhamdulillah, dia (You Narae) sangat seronok dan sangat bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri serta Muslim yang lebih baik dan kami bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan,” katanya

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: Hmetro

Apa komen anda?

Be the first to comment on "Mek Korea, Ryzal Selamat Disatukan Dengan Sekali Lafaz"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*