Niat Sharifah Sakinah belanja pelajar tahfiz tonton wayang dikecam netizen, terpaksa padam foto elak kekecohan

NIAT baik pelakon Sharifah Sakinah membawa sekumpulan pelajar tahfiz menonton wayang filem seram Pusaka disalah erti segelintir netizen.

Menerusi ruang komen di foto Sakinah, 30, terdapat segelintir netizen yang berasa kurang senang melihat cara aktres itu menggembirakan pelajar tersebut.

Malah, ada juga individu yang mempertikaikan tindakan pelakon telefilem popular Girlfriend Aku Dari Neraka ini memuat naik perkongsian tersebut.

“Subhanallah banyak lagi aktiviti yang boleh menggambarkan kebesaran Allah SWT tetapi bukan dengan perkara-perkara yang lagho (melalaikan) macam ini. Semoga diberi hidayah dan bimbingan dari Allah SWT.

“Maaf macam tak sesuai… bawa la mereka pergi tempat lain selain itu.

“Selepas itu… motif post?” komen beberapa netizen di Instagram.

Pemilik nama Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar ini meluangkan masa bersama pelajar tahfiz itu sempena sambutan Maulidur Rasul pada Sabtu lalu.

Adik kepada pengacara Sharifah Shahirah ini menegaskan dia tidak menyukai komen yang mempertikaikan perkongsiannya.

Sakinah juga berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang meninggalkan komen negatif.

“Saya sangat tidak kisah komen mengenai ketiak kedut, seksi, akhir zaman atau apa saja tapi jangan komen sesuatu yang macam ‘motif kenapa nak kena post’.

“Oh tak boleh, tak boleh, tak boleh. Saya akan cari anda, saya akan saman anda dan jumpa anda di mahkamah,” katanya menerusi Instastory.

Selepas beberapa jam, Sakinah telah memuat naik video seorang netizen yang tampil memohon maaf secara terbuka kepadanya.

Sakinah juga telah memadam foto dia bersama pelajar tahfiz selepas kekecohan di laman Instagramnya.

Sumber Mstar

Apa komen anda?