DUA individu memfailkan sam4n terhadap suami kepada penyanyi Adira, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red atas dakwaan menipu melibatkan kes jual beli tanah rizab Melayu di Hulu Langat, Selangor.
Peguam yang mewakili mangsa, Bhavanash Sharma berkata, mangsa terbabit telah menandatangani enam perjanjian jual beli sekitar Januari 2016.
Malah katanya, mangsa turut membuat bayaran penuh sebanyak RM234,000 kepada akaun bank ADN Properties Sdn Bhd, syarikat milik Datuk Red dan seorang lagi pemegang sahamnya, Shamshurina Suhaimi.
“Datuk Red dan Shamshurina antara defendan-defendan lain yang berkomplot menipu pembeli ikhlas dalam penipuan tanah yang dikatakan berskala besar di atas tanah dikenali sebagai Tanah Hulu Langat.
“Kami percaya terdapat lebih daripada 120 pembeli yang telah menjadi mangsa penipuan ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Menurut Bhavanash Sharma, peguam mewakili defendan, Sanisah Abdul Sani yang menyediakan dan menyaksikan perjanjian jual beli itu tidak memiliki Sijil Amalan Guaman yang sah.
“Perjanjian-perjanjian jual beli tersebut telah disediakan oleh Firma Guaman Iszam Kamal & Hazlan yang tidak dibenarkan beroperasi sejak Mei 2015.
“Walaupun ‘membeli’ tanah, tetapi tanah tersebut masih belum dapat dipindahkan ke atas nama plaintif. Lebih-lebih lagi ADN Properties Sdn Bhd bukan pemilik tanah berdaftar dan/atau pemilik benefisial tanah tersebut,” katanya.
Susulan itu, Bhavanash Sharma berkata dua laporan polis telah difailkan pihak pembeli/plaintif pada 10 November lalu.
Pada September 2017, mStar melaporkan Datuk Red dituduh melakukan kegiatan penipuan penjualan rumah harga murah.
Perkara itu didedahkan sebuah blog yang mendakwa perbuatan Datuk Red menerusi syarikat sama termasuk memuat naik video sidang media Persatuan Penguna Islam Malaysia (PPIM) yang membongkar kegiatan penipuan penjualan tanah.
Menerusi video berdurasi enam minit itu turut menyelitkan keratan artikel mendakwa Adnan terlibat dalam penipuan itu walaupun sidang media dilakukan oleh Pengarah, Unit Tindakan Khas, PPIM Yusof Azmi tidak memperincikan secara jelas siapa dalang sebenar.
Sumber Mstar