Dikaitkan bakal berkahwin dengan Datuk Seri Eizlan Yusof, ini respon Datuk Ziela Jalil

KUALA LUMPUR: “Ya, Eizlan memang nak kahwin, tapi saya bukan calon isterinya.”

Itu penjelasan penerbit dan pelakon, Datuk Ziela Jalil apabila netizen membuat spekulasi dia bakal berkahwin dengan Datuk Seri Eizlan Yusof.

Spekulasi itu timbul gara-gara perkongsian Instagram Story yang dimuat naik Ziela pada majlis sambutan lahir Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Hajah Datuk Aishah Sultan Ahmad Shah, yang dihadirinya, Isnin lalu.

Antara lain, rakaman video itu menunjukkan tetamu memberi ucapan tahniah kepada Eizlan, sambil Ziela duduk bersebelahan dengan penerbit, pelakon dan usahawan kacak itu.

Berikutan itu, netizen membuat andaian Ziela adalah calon isteri Eizlan yang sebelum ini dikatakan bakal menamatkan zaman duda.

Ziela yang dihubungi BH Online mengaku bersahabat baik dengan duda kepada tiga cahaya mata itu tetapi hubungan mereka tidak lebih daripada kawan.

Pemilik Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu bagaimanapun tidak terkejut dengan gosip bertebaran konon dia calon isteri Eizlan. Malah, Ziela tidak melatah kerana mendakwa mengenali wanita yang bakal disunting pelakon itu.

“Saya tidak terkejut dikaitkan dengan Eizlan kerana saya bukan calonnya. Orang luar memang boleh membuat andaian sebab mereka tidak tahu cerita yang terjadi.

“Dalam lingkungan sahabat kami, masing-masing tahu cerita peribadi sesama sendiri. Jadi, tidak mungkin akan berlaku apa-apa antara saya dan Eizlan.

“Bagaimanapun, sebagai sahabat, saya tentulah sangat gembira. Ini kerana selepas sekian lama menduda, Eizlan akhirnya bakal berkahwin semula,” kata Ziela yang sedang menjalani penggambaran drama Janda Kosmopolitan arahan Erma Fatima.

Eizlan yang pernah berkahwin dengan Vie Shantie Khan pada 2007 dan bercerai talak satu pada 2015, dijangka mengadakan sidang media mengumumkan perkembangan terbaru dirinya pada 2 Disember ini.

Pelakon itu bagaimanapun enggan mendedahkan tujuan sidang media dianjurkan, namun dikatakan ada kaitan dengan majlis perkahwinannya.

Pelakon yang terkenal dengan drama bersiri Jaguh-Jaguh itu mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Vie Zara, 11; Zareef Yusof, 9, dan Vie Zaara, 6.

Sumber Mstar

Apa komen anda?