Selepas menceburi perniagaan berasaskan kecantikan dan pakaian, pelakon Ardell Aryana kini mula terokai ruang bisnes baru apabila membuka pusat laser bulu, Hairy Mary di Publika, Solaris Dutamas.
Perniagaan berkenaan diusahakan isteri kepada Nadzmi Adhwa ini bersama sepupunya, Dr Por Yan Sheng. Hairy Mary merupakan cawangan ketiga dibuka selepas di One City, Subang Jaya dan Midvalley.
“Ukhuwah saya dan pakcik (Dr Por) sudah terjalin sekian lama. Kami selama ini banyak berkongsi pemikiran dalam dunia perniagaan.
“Biarpun jarak usia kami dekat, tapi saya bahasakan dia sebagai pakcik mengikut pangkat dan hormat. Banyak kali juga dia mengajak saya untuk bekerjasama. Namun rezeki hanya terjalin kali ini.
“Saya banyak melihat cara orang Cina berniaga menerusinya. Begitulah sebaliknya. Ia seperti satu perkongsian pintar yang kami jalinkan dalam perniagaan ini.
“Melihat kejayaan dua premis terdahulu diusahakannya, saya nekad untuk meneruskan kerjasama sulung ini,” katanya.
Berkongsi antara sebab dia terfikir untuk melakukan kerjasama terbabit, bintang Tak Ada Cinta Sepertimu ini sendiri melihat akan kepekaan dirinya dalam menjaga kebersihan.
“Cuma pada awalnya ketika saya berkongsi video atau gambar membuat laser buang bulu, ada yang bertanya bolehkah wanita Islam melakukannya.
“Saya sendiri meleraikan persoalan itu dengan bertanya ustaz dan mereka yang lebih pakar. Dalam Islam sendiri mementingkan kebersihan.
“Jadi tak salah untuk kita membuang bulu jika ia memudaratkan atau memberi masalah.
“Macam contoh jika di muka atau dahi kita ada bulu yang serabut atau tebal, ia sedikit sebanyak menyukarkan untuk kita sujud dengan betul ketika bersolat,” dedah Ardell.
Pada masa sama, sebagai wanita, soal kebersihan diri sememangnya perlu diutamakan.
“Ada bahagian tertentu contohnya seperti Miss V perlu dirapi dan dikemaskan. Contohnya kalau sudah berkahwin, semua itu dibuat untuk kebaikan saat bersama suami.
“Begitu juga di bahagian ketiak dan lain lain lagi. Tambahan pula dengan buat laser tanggal bulu ini ia tidak menyakitkan berbanding waxing.
“Perhatian utama di Hairy Mary pun lebih kepada menanggalkan bulu secara kekal dengan kesan efektif,” katanya lagi.
Sementara itu, Dr Por menambah, premis perniagaan mereka lebih memberi keutamaan kepada pelanggan wanita.
“Bagi golongan lelaki juga kami sediakan untuk merapi atau menanggalkan bulu di bahagian tertentu seperti muka atau jambang. Tetapi kalau untuk golongan perempuan kita tawarkan untuk seluruh badan.
“Kami sendiri mempunyai therapist di kalangan wanita. Jadi kami sendiri mahu melindungi mereka dan mengelak daripada perkara yang tak diingini,” kata Dr Por.
Hairy Mary diasaskan Dr Por Yan Sheng sejak 10 October 2018 dengan cawangan pertamanya di Subang Jaya, One City dan beliau juga merupakan pakar estetik yang memulakan kerjayanya sejak lima tahun dahulu.
Hairy Mary menggunakan teknologi THOR light laser yang berasas dari Korea, di mana ia menggabungkan sistem penyejukan yang mengurangkan kesakitan atau rasa tak selesa semasa rawatan dan sistem penyampaian yang lebih baik daripada IPL untuk ketepatan yang lebih tinggi supaya menghasilkan keberkesanan maksimum.
Sumber Media Hiburan