“Yang cantik keluar TV, kurang elok jadi penonton di rumah saja” – Haji Zeel akui rupa paras jadi ‘umpan’ untuk tarik penonton

PENERBIT drama Fadzil Teh tetap dengan pendirian mencari bakat baharu bersandarkan pada paras rupa sebelum dipilih membintangi drama di bawah produksi miliknya.

Fadzil atau lebih dikenali Haji Zeel berkata sudah menjadi resam manusia untuk melihat sesuatu yang indah dan cantik, justeru itu hal tersebut menjadi keutamaan dalam memancing penonton.

“Kalau nak pilih pelakon baharu, kena cantik dan elok dalam televisyen. Bagi saya senang sahaja, orang cantik kena keluar televisyen… yang kurang tu jadi penonton dekat rumah sajalah.

“Rasanya kita semua pun nak tengok yang cantik dan elok… siapa yang nak tengok yang tak elok dekat TV kan? Jadi saya tetap pendirian kalau nak jadi pelakon di bawah produksi kami paras rupa jadi keutamaan.

“Apabila mereka dah diberi peluang jadi pelakon kena tambah ilmu lakonan pula, pergi kelas berlakon. Jangan harap pada muka semata-mata, mantapkan lagi bakat!,” katanya kepada mStar.

Fadzil berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai faktor pemilihan pelakon baharu di bawah produksi miliknya, Zeel Production Sdn Bhd.

Isu paras rupa mengatasi bakat ini pernah menjadi perdebatan hebat dalam kalangan masyarakat dan penggiat seni pada Mac lalu.

Ia bermula apabila Datuk A. Aida menyuarakan pandangan dan mempertahankan pendiriannya mengenai rupa paras sangat penting untuk seseorang menjadi pelakon kerana perkara itu adalah realiti.

A.Aida berkata perkara itu tidak perlu dipertikaikan kerana industri lakonan era kini sememangnya memerlukan pelakon utama yang mempunyai rupa-paras menarik kerana ia adalah ‘bisnes’.

“Itu adalah realiti kehidupan dan tuntutan masa kini. Kenapa nak pertikaikan. Selebriti yang menyelar kenyataan saya itu mungkin tak faham.

“Mereka kena terima hakikat dan jangan jadi hipokrit. Sebab sememangnya setiap drama semua menggunakan pelakon utama yang mempunyai wajah yang cantik dan tampan. Kalau tidak, siapa yang nak tengok drama tu?” ujarnya.

Sumber Mstar

Apa komen anda?