Muhyiddin boleh hadapi undi tdk percaya, tetapi tdk utk tempoh yg lama kerana ini

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menjangka Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan terselamat daripada usul undi tidak percaya yang kini diusahakan oleh Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak untuk tempoh yang lama.

“Buat masa ini Muhyiddin mempunyai cukup sokongan untuk bertahan,” kata Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia.

“Ini tidak bermakna pembangkang akan berhenti daripada mencuba untuk menjatuhkannya menerusi usul undi tidak percaya yang ke-2 atau ke-3.”

Beliau bersetuju dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mungkin bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Dewan Rakyat Tidak Bersidang Seperti Biasa

Baru-baru ini Anwar berkata, keengganan kerajaan mengadakan persidangan Dewan Rakyat seperti biasa Isnin lepas merupakan isyarat bahawa ia tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan takut untuk menghadapi undi tidak tidak percaya.

Gabungan Rapuh

Azmi berkata, penilaian Anwar tepat berdasarkan majoriti PN yang kecil, selain merupakan gabungan yang rapuh.

“Sekiranya 1 daripada 3 parti utama dalam PN, iaitu Barisan Nasional, PAS dan GPS, menarik balik sokongan mereka, kerajaan Muhyiddin boleh tumbang pada bila-bila masa,” katanya.

“Berbanding BN, PAS atau GPS, kelangsungan PN lebih penting bagi PPBM.

“Bagi BN dan PAS, sekiranya pilihan raya umum diadakan hari ini, pencapaian mereka akan lebih baik berbanding pilihan raya umum ke-14.”

GPS juga berada pada kedudukan yang baik untuk mempertahankan kerusinya, tambah beliau.

Perbezaan Agenda

Katanya, perbezaan agenda antara PPBM dengan parti lain berkemungkinan besar merupakan kelemahan yang akan memecahkan PN.

Bagaimanapun kata beliau, ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana parti terlibat mahu kekal dalam kerajaan untuk memperkuatkan pengaruh masing-masing.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya juga berkata, kedudukan kerajaan PN goyah kerana majoritinya yang kecil.

Beliau berkata, dalam keadaan PPBM, PAS dan Umno saling bersaing antara satu sama lain, maka akan wujud masalah kepercayaan dalam gabungan politik itu.

“Malah dalam Umno sendiri, terdapat individu yang dikenali sebagai penyokong Anwar seperti Nazri Aziz dan beberapa yang lain yang tidak menonjol pada masa ini.”

Beliau berkata, Muhyiddin perlu memperkukuhkan sokongan kepadanya bagi menumpaskan sebarang usul undi tidak percaya.

“Kelangsungan pentadbirannya bergantung pada strategi beliau melemahkan sokongan kepada Mahathir dan Anwar dalam kalangan ahli Parlimen.”

Saya takkan berhenti cuba jatuhkan Muhyiddin, kata Dr M

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berikrar tidak akan berhenti daripada usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana berang dengan penggantinya memberi peluang kepada parti dicemari rasuah yang ditolak pengundi dalam pilihan raya umum 2 tahun lalu, kembali berkuasa.

Rabu lalu, bekas perdana menteri itu mempersoalkan kesahihan pakatan Muhyiddin yang berusia 2 bulan setengah dengan Umno.

“Salah untuk membuat penyusunan pintu belakang ini. Kami mahu memberi rakyat kerajaan sah yang mereka pilih. Itu matlamat kami,” katanya kepada Reuters dalam wawancara melalui sidang video.

Muhyiddin yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Mahathir, tanpa disangka dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas mendapat sokongan Umno untuk meraih majoriti di Dewan Rakyat.

Pembangkang mendakwa Muhyiddin mencuri kuasa dengan menukar perikatan berbanding mendapatkan jawatan nombor satu itu melalui pilihan raya.

Awal minggu ini, kerajaan Perikatan Nasional berjaya mengelakkan undi tidak percaya yang diusulkan Mahathir, dengan bertegas Parlimen memberi keutamaan kepada usaha membendung penularan Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.

Tetapi, Mahathir berkata, pakatan Muhyiddin hanya meraih kelebihan 2 kerusi daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dan berkata beliau akan meneruskan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan PN.

“Itu majoriti paling kecil yang pernah diperolehi mana-mana kerajaan di Malaysia,” kata Mahathir.

“(Muhyiddin) akan berdepan masalah besar kerana apa saja peluang yang kami ada untuk membuktikan tidak sah bagi beliau menjadi perdana menteri, kami akan lakukannya.”

Katanya, parti pembangkang akan menolak rang undang-undang yang dibawakan kerajaan Muhyiddin di Parlimen, jika undi percaya tidak dibenarkan dibentang.

“Jika semua yang dibawanya ke Parlimen ditolak, bagaimana beliau mahu teruskan?”

Anwar jangka PN takkan mampu bertahan hingga PRU15

Susulan sesi sidang sehari Dewan Rakyat semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim beranggapan bahawa kerajaan sekarang tidak mungkin mampu bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Biarpun gabungan pembangkang tidak memiliki majoriti di Parlimen, Anwar menyifatkan kerajaan ketika ini masih ‘bimbang’ dengan kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya.

Beliau turut mempersoalkan keabsahan (legitimacy) tampuk kepimpinan dipegang kerajaan.

“Sekiranya pemerintah sekarang benar-benar memiliki kepercayaan, mereka akan menjalankan urusan Parlimen dengan cara yang biasa.

“Secara jelas mereka bimbang akan kemungkinan berjaya dari usul undi tidak percaya yang dikemukakan. Maka, masalah keabsahan pemerintah ini yang perlu dipersoalkan sekarang,” kata Anwar menerusi satu wawancara oleh Bloomberg Television.

Sementara itu, tambah Anwar, gabungan Pakatan Harapan akan memberi tumpuan untuk memastikan 107 anggota Parlimennya, dari jumlah 222, kekal berpendirian teguh.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: MB

Apa komen anda?

Be the first to comment on "Muhyiddin boleh hadapi undi tdk percaya, tetapi tdk utk tempoh yg lama kerana ini"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*