‘Ambillah kedai runcit saya, saya tak mampu bayar kompaun’. Antara tiga peniaga dikenakan k0mpaun 50K.

Kota Bharu: “Ambillah kedai runcit saya sebagai ganti, memang saya tidak akan mampu untuk membayar kompaun sebanyak RM50,000”.

Demikian luahan Mansah Marjurin, 47, iaitu antara tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 pada Ahad lalu bagi kesalahan beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia yang berniaga kedai runcit di Jalan Chempaka di sini berkata, sememangnya dia tiada kemampuan untuk membayar kompaun kerana bayaran rumah juga sudah tertunggak tujuh bulan selain sebuah kereta ditarik oleh pihak bank sejak PKP.

Menceritakan kejadian jam 11.40 malam itu ketika didatangi empat anggota polis, bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun itu berkata, premis kedai runcit miliknya sudah ditutup, namun hanya pintu kecil tidak berkunci kerana ketika itu ada saudara datang berkunjung.

“Memang saya sudah menutup kedai dengan keseluruhan pintu sudah dikunci, namun jam 10 malam saudara isteri datang berkunjung di kedai dan ketika itu kami sedang berborak di dalam kedai.

“Pintu kecil pula dibuka kerana ada anak kecil yang keluar masuk, bukannya untuk pelanggan. Selepas itu saya terkejut apabila anggota polis datang dan bertanyakan kenapa kedai masih beroperasi.

“Saya sudah menjelaskan dengan menunjukkan pintu gril yang ditutup namun tetap disaman dengan jumlah RM50,000,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mansah yang berasal dari Bukit Tinggi, Klang mengakui sangat terkejut melihat jumlah kompaun yang dikenakan kerana pendapatan mereka sekeluarga hanya bergantung kepada jualan kedai runcit dan isteri juga tidak bekerja.

“Sejak malam itu, saya buntu dan tidak mengetahui apa yang perlu dilakukan. Saya juga belum membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah kerana masih dalam suasana terkejut. Mungkin hari ini baru saya pergi membuat rayuan.

“Jika diminta bayar, memang saya tidak mampu, ambillah kedai runcit saya sebagai ganti,” katanya yang tinggal di Taman Tanjung Mas, di sini.

Dia turut berharap ada pihak tampil membantunya selain membantu dua peniaga lain yang dikenakan jumlah kompaun sama.

Media semalam melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti k0mpaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger di sini, Ahad lalu.

Beliau dilapor berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.

“Peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran K0mpaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya dipetik.

 

Sumber : Metro

Apa komen anda?

Be the first to comment on "‘Ambillah kedai runcit saya, saya tak mampu bayar kompaun’. Antara tiga peniaga dikenakan k0mpaun 50K."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*